17 Jun 2013

Alkisah Seorang Raja Bijak



Raja Kamal mempunyai 13 putera yang membantunya dalam pentadbiran negara.

Namun, 13 orang puteranya tidak bersatu hati kerana setiap mereka ingin menjadi pewaris takhta.

Dalam 13 puteranya, putera ke 2, Lakim, putera ke 4, Yusof and putera ke 8, Bija adalah calon-calon di hati Raja Kamal untuk mewarisi takhtanya.

Ketiga-tiga puteranya cerdik dan pandai berstrategi. Perkara yang Raja Kamal paling takutkan ialah mereka akan saling mencantas antara satu sama lain semata-mata untuk mewarisi takhta.

Putera-puteranya yang lain terpecah kepada 3 kumpulan – yang menyokong Lakim, Yusof dan Bija.

2 tahun lepas, Raja Kamal telah mengumumkan anak keduanya Lakim. Ekoran itu, satu pergolakan politik berlaku di mana Lakim telah bertindak di luar batas dengan mencari kerjasama dengan negara jiran untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pewaris takhta.

Tindakan Lakim dibongkar oleh Yusof dan Bija secara bijak sehingga Raja Kamal mengetahuinya.

Lakim akhirnya digugurkan sebagai pewaris takhta. Tiada putera yang mengambil kredit atas kegugurannya – perkara itu terjadi seperti Raja Kamal sendiri yang membongkar pengkhianatan Lakim.

Sekarang pertarungan hanya tinggal Yusof dan Bija. Yusof ialah putera yang kurang bercakap dan bercakap hanya perlu. Di depan Raja Kamal, Yusof tidak pernah menunjukkan sebarang hasrat untuk merebut pewaris takhta.

Bija pula lain. Bija seorang yang berani memuji musuh dan mengkritik orang sendiri asalkan kebenaran berpihak kepadanya. Kerana ketelusannya, Bija juga tidak pernah menyembunyi hasrat untuk menjadi pewaris takhta di depan Raja Kamal.

Satu hari, semasa persidangan mesyuarat kerajaan, Raja Kamal berkata beliau mendapat maklumat bahawa satu satu puteranya telah menggunakan wang kerajaan untuk menyogok para pembesar untuk meluaskan pengaruhnya untuk dilantik sebagai pewaris takhta.

Raja Kamal melantik Yusof dan Bija untuk mengetuai siasatan ini. Masa diberi adalah seminggu.

Seminggu berlalu, persidangan mesyuarat kerajaan diadakan semua untuk Yusof dan Bija mengumumkan hasil siasatan.

“Tak perlu umum dulu. Nanti kamu berdua datang jumpa beta,” titah Raja Kamal.

Di bilik Raja Kamal, Yusof dan Bija datang menghadap.

“Bija, apa hasil siasatan kamu?” tanya Raja Kamal.

“Saya dah tanya ramai pembesar, mereka kata Yusof tak sogok mereka. Saya juga telah menyiasat secara rawak harta-harta para pembesar yang disyaki menyokong Yusof, saya tidak jumpa apa-apa. Jadi mungkin ada putera lain. Saya akan teruskan siasatan,” kata Bija.

Raja Kamal tidak berkata apa-apa ataupun kelihatan terkejut.

“Yusof, apa pula hasil siasatan kamu?” tanya Raja Kamal.

“Saya menyiasat akaun kerajaan dan projek-projek yang diluluskan untuk satu tahun yang lepas. Saya dapati ada projek yang dikurniakan kepada syarikat-syarikat milik keluarga para pembesar. Kebanyakan projek sedemikian diluluskan oleh abang Lakim. Itu sahaja hasil siasatan saya,” kata Yusof.

Bija terkejut, Yusof tidak menyiasatnya walaupun Raja Kamal dah bagitahu tujuan menyogok pembesar adalah untuk meluaskan pengaruh menjadi pewaris takhta.

“Mengapa? Apakah muslihat Yusof? Lakim dah pun kena hukum, mengapa tuding pada Lakim lagi,” bisik Bija di hati.

Raja Kamal tidak berkata apa-apa dan menyuruh Bija dan Yusof beredar.

Tidak lama selepas itu, Raja Kamal mengumumkan Yusof sebagai pewaris takhta.

Bija tidak memahami keputusan Raja Kamal lalu bertanya kepada ayahnya.

“Apa alasan untuk memilih Yusof? Apakah beliau lebih layak daripada saya?” tanya Bija.

“Sebenarnya beta sengaja berkata ada orang guna duit kerajaan untuk menyogok para pembesar untuk meluaskan pengaruh menjadi pewaris takhta untuk menguji kamu berdua. Bija bersifat ingin mencantas Yusof, dan telah buruk sangka pada Yusof dalam siasatan Bija. Bija walaupun adil, tapi dalam penyiasatan Bija, Bija hilang fokus kerana buruk sangka pada Yusof. Yusof pula menyiasat tanpa prejudis pada Bija, walaupun dia tahu Bija saingan terhebatnya.

Seorang bakal raja perlu memahami air yang kotor tidak perlu dibuang. Ia boleh dijadikan sebagai air untuk menyiram pokok-pokok bunga. Manusia boleh sakit kerana air kotor itu, tapi air yang kotor itu masih boleh menyebabkan bunga boleh berkembang. Yusof walaupun tahu Bija saingan terhebat, tapi dia tak mahu Bija menjadi musuhnya tatkala Yusof menjadi raja nanti. Yusof tahu bila ia dipilih Bija akan kurang senang hati, tapi dia tetap tidak mahu Bija menjadi musuhnya kerana dia tahu kelebihan yang ada pada Bija. Tapi Bija lain, Bija dah anggap Yusof sebagai musuh sejak dari mula. Itu perbezaannya,” terang Raja Kamal.

Dapat pengajaran tersirat?

Senyum




sumber : Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

No comments: