26 Feb 2013

Ketam Cina vs Ketam Melayu

Mungkin kita boleh ambil iktibar dari cerita ni.

Tak lama dulu ada seorang melayu yang ingin makan lauk ketam. Pada pagi tu dia pergilah ke pasar borong dan berjalan ke satu kedai milik cina yang menjual ketam.

Melayu: Apek! Itu ketam ada jual ka?

Cina: Ada…ada…lu mau ketam cina ka ketam melayu?

Melayu: Aik! Ketam pun ada melayu dengan cina ka apek? Cuba lu tunjuk mana ketam melayu, mana ketam cina?

Cina: Itu sana dalam bekas ada tutup…ketam cina…….sana dalam bekas tak ada tutup…ketam melayu la….

Melayu: Apa pasal ketam cina apek kasi tutup…ketam melayu apek tak kasi tutup?

Cina: Itu ketam cina kalau satu ekor keluar…yang lain akan tengok dan kasi belajar macam mana boleh keluar dari bekas. Nanti lama-lama semua ketam pandai macam mana mau keluar dari bekas. Jadi semua keluar la.

Melayu: Ketam melayu tak itu macam ka?

Cina: Ketam melayu, kalau satu ekor keluar yang lain kasi tarik itu kaki ketam tadi…jangan kasi keluar. Dia mau dia sekor saja keluar…yang lain biar dalam bekas. Kalau dia sudah keluar, dia terus lari, tak mau ajar yang lain macam mana mau keluar.





Sumber: kaki-haru

24 Feb 2013

Alkisah Sebuah Penyiksaan

“Mak, malam ini acik balik makan,” tanya anak tunggal Kak Dah di telefon.

Kak Dah yang kini seorang ibu tua yang bersama bersama suaminya Pak Long.

Acik jarang balik makan di rumah, Kak Dah cukup riang mendengar kata-kata Acik yang ingin makan bersama malam.

Kak Dah terus ke pasar bersama Pak Long.

“Ayang nak beli tepung dan sabut kepala,” kata Kak Dah.

“Mengapa?” tanya Pak Long.

“Acik suka kuih koci. Malam ini nak buat sikit untuk dia rasa. Acik suka bebola ikan, nanti belikan ikan merah, ayang buat bebola ikan. Abang pergi cari daging, ambil yang Australia, Acik suka makan goreng kering,” kata Kak Dah.

Selepas siap membeli, Kak Dah dan Pak Long balik ke rumah untuk menyiapkan makanan malam.

Tengah dalam persediaan membuat bebola ikan…

“Alamak abang, lupa Acik tak suka makan bebola tanpa cincalok. Kena pergi beli. Beli juga ikan masin, kailan ini Acik lebih suka makan goreng dengan ikan masin,” kata Kak Dah.

“Susah nak parking sekarang. Dah kena ikut. Abang henti tepi, Dah pergi beli,” kata Pak Long.

Berdua orang tua ini keluar semula untuk membeli barangan untuk memasak.

Jam menunjukkan pukul 7pm, segala makanan telah disiapkan oleh Kak Dah dan Pak Long. Mereka menunggu kepulangan Acik. Disebabkan takut sejuk, hanya bebola ikan sup sahaja belum dimasak. Kak Dah kata bila Acik hampir sampai baru masak.

“Acik di mana?” tanya Kak Dah.

“Masih di ofis mak. Ada kerja lagi. Sekejap lagi Acik bertolak,” jawab anaknya.

“Dah bertolak bagitahu mak ya,” jawab Kak Dah.

Pak Long dan Kak Dah mengambil kesempatan untuk mandi dan solat Maghrib.

Jam 7:45pm, telefon Kak Dah masih tidak berbunyi. Perut Kak Dah dah berasa senak, sebab Kak Dah ada penyakit gastrik, dan biasa waktu makannya 7:00pm.

“Acik dah bertolak?” tanya Pak Long.

“Belum. Masih ada kerja lagi. Lepas siap, Acik akan datang. Ayah makan dulu,” jawab anaknya.

“Dah, makan dulu. Acik suruh makan dulu,” kata Pak Long kepada Kak Dah.

“Tak apalah abang. Ayang boleh tahan. Kita tunggu dia. Sikit sahaja tu. Anak kerja kuat, kita temankan dia makan sekali sekala lewat sikit tak apa,” jawab Kak Dah.

Pak Long tidak berkata apa-apa.

Azan berbunyi lagi. Sudah masuk waktu Isyak. Acik masih tidak muncul.

Pak Long ingin menelefon Acik.

“Tak payah kacau dia. Acik mungkin sibuk. Sekejap lagi dia sampai la tu,” kata Kak Dah.

Mereka menunggu lagi. Telefon mereka tetap tidak berdering.

Jam 9:30

Perut Pak Long mula berbunyi.

“Abang lapar? Abang makan dulu lah. Dah tunggu Acik,” kata Kak Dah.

“Usah tunggu. Makan sama-sama. Ni nak tunggu sampai bila,” kata Pak Long.

Satu makan malam yang sepatutnya gembira menjadi hiba kerana Acik tidak muncul.

Kak Dah menyuapkan sedikit makanan, lalu ia tercekik, tidak mampu menelannya. Bila ditanya Pak Long, kenapa?

Kak Dah menjawab ia teringatkan Acik, kerana lauk-lauk yang disediakan adalah lauk yang paling anaknya sukai.

Dalam hati Kak Dah terasa amat hampa, kerana sejak pagi menerima telefon Acik, Kak Dah menjangka anaknya pulang petang itu untuk makan bersama, namun ia tidak kesampaian.

Anaknya tidak pulang sebagaimana dijanjikan, "Mungkin ada urusan lebih mustahak,” keluhnya hampa.

Pak Long hanya mampu melihat dan tidak terkata apa-apa. Pak Long sedar hati Kak Dah bagai dihiris pisau.

Telefon berdering.

“Acik nak pergi minum dengan kawan, tak sempat balik makan. Lain kali Acik balik makan dengan mak,” kata Acik.

“Ok. Jaga diri sayang,” kata Kak Dah, yang menggunakan segala tenaga untuk menutup rasa hibanya.


Bagaimana kalau anda berada di posisi Kak Dah itu?

Sebagai anak, harus diingat ibubapa mengambil serius pada setiap janji dan kata-kata kita. Buatlah sesuatu bagi memuliakan mereka pada bila-bila masa ini.

Ingatlah, kalau anda sayangi ayah ibu tunjukkan agar mereka menikmati kasih sayang anda.

Dan jangan biar mereka menunggu kerana penungguan pada sebuah janji yang tidak kesampaian adalah satu seksaan yang kejam buat ibubapa yang tercinta.

Senyum.



sumber: FB Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenapa Ada Poket Kecil Pada Seluar Jeans?



Pernah tidak terlintas difikiran? kenapa seluar jeans selalu ada saku kecil di bahagian sebelah kanannya? Sekali pandang saku kecil ini tak ada fungsinya selain hanya tampalan untuk menambah aksentuasi gaya pemakainya, atau mungkin ciri khas seluar jeans. Namun, dari saku comel inilah sebenarnya boleh dibaca sejarah seluar yang dipopularkan oleh Levi Strauss tahun 1880 ini, lapan tahun selepas jeans masuk ke Amerika Syarikat (AS) tahun 1872.

Sebagai jenis tekstil, jeans pertama kali dibuat di Genoa, Itali tahun 1560-an. Kain seluar ini biasa dipakai oleh angkatan laut. Orang Perancis menyebut seluar ini dengan sebutan “bleu de Genes”, yang bererti biru Genoa. Meski tekstil ini pertama kali dihasilkan dan digunakan di Eropah, tetapi sebagai fashion, jeans dipopularkan di AS oleh Levi Strauss, seorang pemuda berusia dua puluh tahunan yang mengadu nasibnya ke San Francisco sebagai peniaga pakaian. Ketika itu, AS sedang dilanda demam emas.

Akan tetapi, sampai di California semua barangnya habis terjual, kecuali sebuah khemah yang terbuat dari kain kanvas. Kain kanvas ini dipotongnya dan dibuatnya menjadi beberapa seluar yang dijual pada para pekerja lombong emas. Dan ternyata para pekerja menyukainya kerana seluar buatan Strauss tahan lama dan tak mudah koyak. Merasa mendapat peluang, Strauss menyempurnakan “penemuannya” dengan memesan bahan dari Genoa yang disebut “Genes”, yang oleh Strauss diubah menjadi “Blue Jeans”.

Di sinilah para pelombong tambah menyukai seluar buatan Strauss dan “menobatkan” seluar itu sebagai seluar rasmi para pelombong. Para pelombong emas itu menyebut seluar Strauss dengan “those pants of Levi` s “atau” Celana Si Levi “. Sebutan inilah yang memulakan tanda dagang pertama seluar jeans pertama di dunia.

Naluri perniagaan Strauss yang tajam membuatnya mengajak pengusaha sukses Jakob Davis untuk bekerja sama, dan pada tahun 1880 kerja sama itu melahirkan kilang seluar jeans pertama. Dan produk reka bentuk mereka yang pertama adalah “Levi` s 501 “.

Produk reka bentuk pertama memang dikhaskan bagi para pelombong emas. Seluar ini mempunyai 5 saku, 2 di belakang dan 2 di depan, dan 1 saku kecil dalam saku depan sebelah kanan. Kerana diperuntukkan bagi para pelombong, saku ini tentu bukan untuk bergaya-ria. Tetapi saku atau poket comel kecik molek ini dirancang untuk menyimpan butiran-butiran emas yang berukuran kecil.

Meskipun kini jeans dihasilkan dalam pelbagai jenama dan bukan hanya untuk para pelombong, tetapi saku atau poket comel itu tetap ada kerana mungkin mengekalkan fesyen asalnya. Tentu saja hari ini fungsinya bukan lagi sebagai tempat menyimpan butiran emas.





sumber: akustressgiler

20 Feb 2013

Kisah Sebiji Tembikai

Pada suatu hari, seorang ahli Sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al-Balkhir.m. telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya.

Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk di makan, ternyata buah ternbikai itu tidak elok, maka marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: “Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu?

Adakah kepada penjual, pembeli, penanam, atau Pencipta buah tembikai itu?” Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: “Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu beli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga.

Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.




sumber: facebook

19 Feb 2013

Cara Khalifah Umar Al-Khattab Menahan Bebelan Isterinya

Memang tidak dinafikan, wanita lebih banyak bercakap berbanding orang lelaki. Jadi tidak hairanlah jika suami terpaksa menadah telinga mendengar bebelan isteri adakalanya sampai setiap hari. Biarpun leteran itu benda yang sama, ia tetap menjadi satu perkara yang rutin. Namun tahukah anda bahawa Khalifah Umar Al-Khattab juga mempunyai cerita yang tersendiri. Biarpun kita tahu dirinya amat ditakuti kerana sifatnya yang garang, namun apabila dengan isteri, ia sangat menghormati isterinya.

Dikisahkan, pada zaman Saidina Umar Al-Khattab, terdapat satu pasangan suami isteri yang selalu bertengkar, berpunca dari tabiat sang isteri yang terlalu kuat membebel terhadap suaminya, tidak kira sama ada ketika dia memasak, ketika masa lapang, atau pun ketika melakukan rutin-rutin harian.Sehinggalah si suami tidak dapat menahan kesabaran lagi mendengar leteran sang isteri saban hari dan ketika, lalu si suami memarahi isterinya.Sang isteri pula tidak hanya berdiam diri ketika dimarahi, lalu berlakukan pergaduhan dan pertengkaran hampir saban hari.

Pada suatu hari, si suami merasakan keadaan rumah tangga mereka sudah tidak aman lagi, dan si suami memutuskan untuk berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab dengan niat untuk mendapatkan tips atau nasihat dari beliau, bagaimana cara untuk mengatasi masalah tabiat isterinya yang suka membebel di samping untuk mengadu kelakuan isterinya kepada Khalifah Umar Al-Khattab.

Setibanya dia dia rumah Khalifah Umar Al-Khattab, si suami tadi mendengar suara isteri Khalifah Umar Al-Khattab sedang membebel kepada beliau.Tetapi tidak pula kedengaran suara Khalifah Umar menjawab. Bila mendapati isteri Khalifah Umar pun mempunyai tabiat yang sama, dan mengenangkan Khalifah Umar yg mengalami nasib yang serupa dengan dirinya, si suami membatalkan saja hasratnya untuk bertemu Khalifah Umar untuk mengadu hal rumah tangganya.Ketika si suami tadi berpaling untuk pulang, tiba-tiba Khalifah Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang kemari?”

Lalu si suami tadi menjawab, “Tujuan aku kemari untuk mengadu hal isteri ku yang kuat membebel, tapi bila mendapati dirimu juga mengalami nasib yang sama, lantas aku batalkan saja hasratku.”

Mendengar jawapan dari si suami itu Khalifah Umar tersenyum lalu menjawab, “Tidak patut sekiranya aku tidak bersabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak, membasuh pakaian untukku, menyabung nyawa melahirkan zuriat-zuriatku, membesarkan anak-anakku, dan tempat aku mendapat hajatku?Sabarlah, kerana sesungguhnya keadaan itu tidak lama.Pasti akan pulih sendiri.”

Begitulah hebatnya peribadi seorang insan yang mulia disisi Allah dan Rasul, seorang panglima yang sangat digeruni di medan peperangan dalam menegakkan panji Islam, tetapi demi kasih kepada isterinya dan untuk mengekalkan keamanan rumahtangga, beliau sanggup berdiam diri dan bersabar melayan kerenah isterinya.

Wallahualam.



sumber: 2dayblogger

15 Feb 2013

Cara Fatimah Az-Zahra Memohon Maaf Kepada Suaminya

Ketaatan Fatimah Az Zahra kepada suaminya Sayyidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darajatnya. Fatimah Az Zahra tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Meski begitu, kemiskinan tidak menghalangi Fatimah Az Zahra untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan.

Pernah suatu hari, Fatimah Az Zahra telah membuat Ali terusik hati dengan kata-katanya. Menyedari kesalahannya, Fatimah Az Zahra segera meminta maaf berulang-ulang kali.

Melihat air muka suaminya tidak juga berubah, maka Fatimah Az Zahra berlari-lari seperti anak kecil mengelilingi Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu mohon untuk dimaafkan. Melihat tingkah laku Fatimah Az Zahra itu, tersenyumlah Ali dan lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedangkan suamimu Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyolatkankan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi nasihat kepada puterinya itu saat perkara ini sampai ke telinga Nabi SAW.

Begitulah yang ditetapkan Allah SWT mengenai kedudukan suami sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati di saat berhadapan dengan suami. Apa yang dilakukan Fatimah Az Zahra itu bukanlah suatu kesengajaan. Semoga kita bisa mengambil hikmah dari kisah agung ini..

Adakah isteri zaman ini meminta maaf apabila menyakiti hati suaminya ??





sumber: wanitakini

Kelebihan Memiliki Anak Perempuan



Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab, “Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)



Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)



Daripada Aisyah r.a.,

dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)



Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud,

“Takutlah kamu kepada Allah s.w.t dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita.”

Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan mereka dan juga isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah s.w.t.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua,? menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan?

Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya.

Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama. Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka,

Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

p/s: Janganlah pula menganggap mempunyai anak lelaki tidak mempunyai kelebihan, anak lelaki dan perempuan sama sahaja. Mungkin kelebihan anak perempuan lebih banyak dan lebih di titikberatkan dalam Islam..Wallahualam..





14 Feb 2013

Petua Untuk Awet Muda Cara Islam

Semua orang nak kekal cantik dan sihat. Awet muda bukan tujuan menidakkan fitrah kejadian manusia, peredaran masa yang sememangnya manusia semakin tua, yang telah Allah tentukan buat hambaNya. Kita tidak mengubah, tetapi memelihara atau menjaga serta mensyukuri nikmat Allah Yang Maha Pencipta.

Jika sayangkan sesuatu, sudah tentu kita akan menjaganya. Jadi kerana itu kita perlu menjaga kecantikan dan kesihatan tubuh badan kita dengan sebaik mungkin. Lihat di bawah, baca dan praktikkan. InsyaAllah pasti menjadi, yakin pada Allah dan pasang niat yang baik maka baiklah jadinya.



Petua Untuk Awet Muda Cara Islam

1. Urutkan wajah anda dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat ke atasNabi Muhammad s.a.w. 3 kali.

2. Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan dan letakkan di bawah dagu. Pusingkan jari anda ke pipi, pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi.
3. Lakukan setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Perlu diingat, jangan sekali mengurut wajah anda dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.
4. Sejurus bangun pagi baca doa, amalkan petua ini sebelum mandi dan gosok gigi. Masukkan air dalam mulut selama 10 saat dan selawat 3 kali dalam hati. Kemudian, baru diteguk.

5. Air liur pada awal pagi mengandungi enzim yang boleh menjadi penawar, kemudian barulah menggosok gigi.

6. Baca ayat 35 hingga 38 surah Al-Waqiah setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.




7. Setelah solat subuh, bacalah surah Yusuf kemudian minum 3 teguk air suam. Mudah-mudahan wajah kelihatan berseri dan awet muda.

8. Setelah itu, lakukan senaman ringan. Hirup udara segar dari luar dan jalan tanpa memakai kasut di halaman yang berumput. Geselkan kaki di atas rumput yang masih berembun.

9. Semasa berdandan pada waktu pagi baca selawat di kedua-dua telapak tangan dan rautkan ke muka beserta niat dalam hati supa diindahkan wajah seperti wajah Nabi Yusuf AS. Amalkan setiap pagi.

10. Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Mulakan dari telunjuk kanan sehingga kelingking jari kanan, seterusnya kelingking jari kiri ke ibu jari kiri dan diakhiri dengan ibu jari kanan. Amalkan menanam kuku dan rambut yang dipotong atau gugur mudah-mudahan mendapat berkat di dunia dan akhirat.

11. Ketika makan, janganlah disulam dengan minum air. Minumlah setelah setengah jam selepas makan.

12. Rajin-rajinlah membaca Al-Quran dengan niat ikhlas kerana Allah.

13. Amalkan solat tahajud.

14. Sentiasa tenang dan bersikap positif.

15. Mulakan sesuatu urusan dengan nawaitu yang baik dan niat kerana Allah.

16. Maafkan semua orang sebelum tidur.




sumber: wanitakini

8 Feb 2013

Alkisah Seorang Pakar Mengumpat

Shaharul seorang yang suka berkata-kata mengenai orang lain, di belakang orang itu. Perkara yang ditumpukannya selalunya negatif.

Satu hari, beliau bertemu dengan Ustaz Kassim di sebuah warong. Sebaik sahaja duduk, Shaharul mula berkata-kata mengenai jirannya, bosnya, isterinya dan juga sahabat-sahabatnya. Ketika merungut dan bercakap buruk mengenai bosnya, Shaharul akan mempamirkan sikap geramnya. Semakin dicerita bagaimana bosnya tidak adil, semakin jelas kegeraman pada nada Shaharul.

Ustaz Kassim yang memerhatikan gelagat Shaharul bertanya: “Apakah anta berasa gembira bila berkata buruk mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Makin geram makin marah adalah – tapi boleh lepas geram,” kata Shaharul.

“Lepas geram, maksudnya lepas ini, tak berkata lagi mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak… mengapa ustaz?” tanya Shaharul.

“Anta tengah meracun diri sendiri, tapi anta tak sedar,” kata Ustaz Kassim.

Shaharul terdiam. “Aku tengah meracun sendiri?” bisik dia di hati. “Bagaimana tu ustaz?”

“Selain bernafas tanpa sedar, tahukah anta bahawa ada lagi satu aktiviti badan yang kita lakukan tanpa sedar tetapi kita merasainya,” tanya Ustaz Kassim.

Shaharul menggelengkan kepala.

“Iaitu menelan air liur. Tapi pernahkah terfikir, apakah fungsi air liur yang dicipta Allah selain yang kita pelajari untuk menghadamkan makanan?” tanya Ustaz Kassim lagi.

Shaharul berfikir sejenak… “Payah betul soalan ustaz. Mohon pencerahan.”

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari oleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain. Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.

"Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya,” terang Ustaz Kassim.

“Jadi maksudnya….?” Kata Shaharul yang semakin berminat.

“Sedarkah kita bahawa apabila kita melihat benda lazat, kita menelan air liur, apabila kita bercakap kita menelan air liur, apabila kita mendengar sesuatu dengan khusyuk, kita menelan air liur, ketika kita mengumpat, kita menelan air liur dan pelbagai aktiviti lain, termasuk ketika anta (yang membaca) mendengar penjelasan ana ini? Dah berapa kali telan air liur sejak ana mula bercakap?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak perasan pula. Rasanya banyak. Masa ustaz cakap, air liur terasa banyak terhasil… hmmm… mengapa ya?” tanya Shaharul lagi.

“Mengapakah Allah membuatkan manusia sedemikian? Apa fungsi air liur sebenarnya?

Ungkapan bahawa 'air liur penjaga kehidupan manusia' sememangnya ada asas. Apabila kita makan, air liurlah menjadi benteng pertama badan manusia.

"Apabila kita membaca al-Quran, bercakap benda baik, melihat benda baik, mendengar benda yang baik dan melakukan benda yang baik - air liur berubah menjadi bentuk yang baik, dan apabila ditelan tanpa disedari, nescaya perasaan dan emosi kita terus berubah menjadi riang, yakin dan seronok.

"Renungkanlah mengapa apabila kita melakukan kebaikan, badan kita berasa riang dan seronok? Bagaimana pula ketika kita melakukan dosa? Adakah kita berasa seronok selepas itu atau gusar?

"Ramai yang tidak sedar, bahawa air liur yang ditelan secara tidak sedar tersebut juga mempunyai peranan yang penting untuk menentukan emosi dan pemikiran kita,” terang Ustaz Kassim.

Shaharul terpegun… “Jadi maksudnya kalau kita berkata tidak baik, maka emosi kita tak akan baik?” tanya beliau.

“Ya. Setiap kali kita mengumpat, kita akan melahirkan rasa yang lebih buruk sangka pada seseorang. Bukan sahaja orang yang mengumpat, tapi orang yang mendengar umpatan tersebut pun terkena. Ini kerana semasa mengumpat, molekul air liur kita berubah bentuk ke nilai yang tak baik, dan makin kita mengumpat, makin banyak air liur jenis ini ditelan.

"Begitu juga, dengan orang yang mendengar. Makin mendengar, makin khusyuk pada umpatan, makin banyak air liur jenis yang tidak baik terhasil, dan ditelan tanpa disedari. Sekiranya orang yang mendengar menyampuk dan sertai sama perbualan tersebut, maka lebih teruklah air liur yang ditelannya.

"Akhirnya, orang yang mengumpat telah menyebarkan racun buruk sangka pada seseorang kepada orang lain kerana air liur yang ditelan tersebut,” tambah Ustaz Kassim lagi.

“Jadi sebab itu, ustaz hentikan perbualan ana tadi? Ustaz biarkan ana bercakap tanpa menyampuk?” tanya Shaharul.

“(Gelak dan senyum)… ya tak ya… petuanya mudah kalau tak nak kena air liur beracun - jauhilah mengumpat, dan jauhilah orang yang mengumpat. Perisai untuk menjauhi mengumpat, ialah dengan senyuman dan jangan sampuk perbualan orang yang sedang mengumpat,” kata Ustaz Kassim.

“Hebat ustaz… mana ustaz dapat teori ini?” tanya Shaharul.

“Buku Senyumlah tulisan seorang sahabat karib,” jawab Ustaz Kassim.

Senyum.





Sumber: FB Tuan Ibrahim Tuan Man

2 Feb 2013

Antara 3 Tangisan : Dimanakah Kita?



"Kita masih menangis kerana gagal mencapai cita-cita. Kegagalan tersebut amat mengecewakan sehingga tak sedar air mata tertumpah dari birai mata. Kita masih menangis kerana sakit. Apabila tidak tahan menanggung kesakitan lantas air mata tertumpah lagi. Kita masih menangis kerana hati disakiti. Sakitnya hati apabila orang sanggup membuat fitnah dan mengkhianati kita. Luka hati hanya Allah yang tahu. Air mata bisa tertumpah lagi.

Sedarkah kita, di sana ada orang yang sedang menangis dalam keheningan malam kerana mengenangi dosa-dosa lampau. Dosa-dosa yang telah tersimpan dalam lipatan usia terulang tayang satu persatu dalam mata batin penyesalan. Rasa bersalah kepada Allah membuatkan air mata memenuhi kelopak mata bagai kepingin membasuh segala dosa.

Ketika kita masih menangis kerana terkenangkan dosa-dosa di siang hari atau dosa-dosa lampau, ada orang lain yang sedang menangis kerana kecewa dan takut disebabkan oleh ibadat yang tidak khusyuk. Solat tidak khusyuk. Apabila berzikir, hati tidak khusyuk. Dalam apa-apa sahaja majlis mendekati Allah, fikiran sering melayang kepada urusan dan masalah hidup harian. Ketika mulut mengucap ‘subhana rabbial a’la wabihamdih’, hati tidak memuji dan meninggikan Ilahi, sebaliknya hati teringat pelbagai urusan keduniaan. Tasbih di mulut tidak lagi selari di hati. Rasa berdosa mula menguasai diri. Lalu ketika berseorangan di dalam gelap atau terang, mengalirlah air mata kerana rasa berdosa kepada Ilahi.

Ya, ketika kita menangis kerana hal-hal dunia, ada orang lain di sana yang menangis kerana dosa-dosa lampau. Dan ketika kita menangis kerana dosa-dosa lampau, ada di sana orang menangis kerana solat dan zikir di mulut tidak selari pula di hati. Apabila hilang khusyuk dalam ibadat, seolah-olah terasa solat dan zikir dilemparkan kembali ke mukanya bagai kain buruk.

Aduh terbang segala semangat. Bagaimana aku harus berdiri di depan Tuhan?






sumber: TranungKite

1 Feb 2013

Jaga Kehormatan Darah




Ada satu tanggungjawab yang sangat ramai orang lupakan, iaitu menjaga kehormatan darah yang sedang kita bawa pada setiap hari. Darah siapakah yang kita bawa? Ke manakah kita membawanya setiap hari, dan selama ini?

Darah yang kita bawa ini ialah darah yang mulia. Semua orang membawa darah yang mulia, kecualilah dia anak buluh betung, junjung buih, muntah lembu atau sebagainya.

Ada orang membawa darah mulia Nabi Muhammad dalam tubuhnya, iaitu para keturunan baginda. Orang lain? Tetap membawa darah-darah yang mulia. Mungkin darah Nabi Ibrahim. Boleh jadi darah Nabi Nuh.
Sekurang-kurangnya pun... darah Nabi Adam. Maksudnya, semua kita membawa darah-darah yang mulia. Semua kita berketurunan orang-orang mulia.

Amanah memelihara kehormatan darah suci yang kita kandung ini bukan main-main tanggungjawab.
Kesuciannya dijaga dengan mengamalkan Ilmu Penahan Api Neraka...  iaitu berusaha mengerjakan segala yang Tuhan suruh, sekalipun yang kecil-kecil... dan berusaha meninggalkan segala yang Tuhan larang, sekalipun yang kecil-kecil.

Oleh itu, peliharalah kehormatan darah yang sedang kita kandung ini.

Sekadar peringatan...

Bahaya Tidur Selepas Subuh



Kita telah ketahui bersama bahawa waktu pagi adalah waktu yang penuh barakah dan di antara waktu yang kita diperintahkan untuk memanfaatkannya. Akan tetapi, pada kenyataannya kita banyak melihat orang-orang melalaikan waktu yang mulia ini. Waktu yang seharusnya dipergunakan untuk bekerja, melakukan ketaatan dan beribadah, ternyata dipergunakaan untuk tidur dan bermalas-malasan.

Saudaraku, ingatlah bahawa orang-orang soleh terdahulu sangat membenci tidur pagi. Kita dapat melihat ini dari penuturan Ibnul Qayyim ketika menjelaskan masalah banyak tidur bahawa banyak tidur dapat mematikan hati dan membuat badan merasa malas serta membuang-buang waktu. Beliau rahimahullah mengatakan,

“Banyak tidur dapat mengakibatkan lalai dan malas-malasan. Banyak tidur ada yang termasuk dilarang dan ada pula yang dapat menimbulkan bahaya bagi badan.

Waktu tidur yang paling bermanfaat yaitu :

1. Tidur ketika perlu tidur.
2. Tidur di awal malam – ini lebih manfaat daripada tidur lewat malam
3. Tidur di pertengahan siang –ini lebih bermanfaat daripada tidur di waktu pagi dan petang. Apatah lagi pada waktu pagi dan petang sangat kurang manfaatnya bahkan lebih banyak bahaya yang ditimbulkan, lebih-lebih lagi tidur di waktu Asar dan awal pagi kecuali jika memang tidak tidur semalaman.

Menurut para salaf, tidur yang terlarang adalah tidur ketika selesai solat subuh hingga matahari terbit. Kerena pada waktu tersebut adalah waktu untuk menuai ghonimah (pahala yang berlimpah). Mengisi waktu tersebut adalah keutamaan yang sangat besar, menurut orang-orang soleh. Sehingga apabila mereka melakukan perjalanan semalam suntuk, mereka tidak mahu tidur di waktu tersebut hingga terbit matahari. Mereka melakukan demikian kerana waktu pagi adalah waktu terbukanya pintu rezeki dan datangnya barokah (banyak kebaikan).” (Madarijus Salikin, 1/459, Maktabah Syamilah)

BAHAYA TIDUR PAGI

[Pertama] Tidak sesuai dengan petunjuk Al Qur'an dan As Sunnah.

[Kedua] Bukan termasuk akhlak dan kebiasaan para salafush soleh (generasi terbaik umat ini), bahkan merupakan perbuatan yang dibenci.

[Ketiga] Tidak mendapatkan barokah di dalam waktu dan amalannya.

[Keempat] Menyebabkan malas dan tidak bersemangat di sisa harinya.

Maksud dari hal ini dapat dilihat dari perkataan Ibnul Qayyim. Beliau rahimahullah berkata, "Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya." (Miftah Daris Sa'adah, 2/216). Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah malas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan malas-malasan pula.

[Kelima] Menghambat datangnya rezeki.

Ibnul Qayyim berkata, "Empat hal yang menghambat datangnya rezeki adalah [1] tidur di waktu pagi, [2] sedikit solat, [3] malas-malasan dan [4] berkhianat." (Zaadul Ma’ad, 4/378)

[Keenam] Menyebabkan berbagai penyakit badan, di antaranya adalah melemahkan syahwat. (Zaadul Ma’ad, 4/222)



sumber: uniqueummah