31 Jan 2013

Jenazah Hanzalah Yang Mati Syahid Dimandikan Malaikat

Perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya, Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang musuh di Bukit Uhud.

Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah saw, “Saya bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti”. Pada masa itu, Nabi Muhammad saw dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat persiapan akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan ini”, balas Rasulullah saw. “Tetapi saya sungguh berhajat untuk menyertainya”, Hanzalah bertegas. Rasulullah saw berkeras supaya Hanzalah meneruskan perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.

Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi Muhammad itu, perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba dikejutkan dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.

“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”

“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”

“Perang akan bermula!”

Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas bangun dari tempat tidurnya, “Saya harus menyertai mereka”. “Bukankah malam ini malam perkahwinan kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka memberi alasan bagi merebut syurga Allah”.

Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan suaminya bersiap memakai pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya. Hanzalah menoleh ke arah isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya, semoga saya beroleh kemenangan”. Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman. Berat hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha. “Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan”.

Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam yang tiba lebih awal daripadanya.

Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah seramai seribu orang. Perbezaan itu tidak menggugat kewibawaan tentera Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka berlawan pedang dan bergelut. Akhirnya Abu Sufyan tersungkur ke tanah. Tatkala Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.

Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya dicatat. Sedang Nabi Muhammad yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang diisikan ke dalam bekas perak”. Abu Said Saidi, antara tentera yang berada dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh badannya. Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang ketika itu matahari terik memancar.




sumber: silverheritage

27 Jan 2013

Alkisah Budak Sekolah Nakal



Seorang pelajar bernama Amin terkenal dengan kenakalannya di sekolah. Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata cikgunya

Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.

“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,” kata Puan Halimah.

“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,” kata Cikgu Kamala.

“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,” kata Tuan Kassim.

“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.

Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Timmy berkata, “Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu. Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”

“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan berseloroh.

Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin. Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa lebih hebat!”

Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.

Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…

“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi Ketua Kelas. Dia ini keputusan tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi Ketua Kelas, sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil menunjuk kepada Amin.

Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.

“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal sebagai pelajar ternakal di sekolah.”

Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail tidak memberi peluang…

“Jadi Ketua Kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”

“Baik ustaz,” jawab para pelajar. Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah merah.

Akhirnya, Amin menjadi Ketua Kelas.

Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.

“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama Zul yang selalu dibuli Amin.

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.

Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,” jawab Amin.

Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di sekolah ke tangga ke 15.

“Dia meniru ke ustaz?” tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.

“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil dia,” jawab Ustaz Ismail.

“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Timmy.

“Apa yang Ustaz buat kat dia?” tanya Puan Halimah.

“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya sebagai Ketua Kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya orang tak kata dia tak layak jadi Ketua Kelas. Sama seperti najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan tidak menyenangkan pandangan. Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan banyak pokok yang berbuah,” jawab Ustaz Ismail sambil tersenyum.

Senyum.



Tuan Ibrahim Tuan Man
Dipetik dari www.facebook.com/ustaztitm

Kisah Banduan 650, Dr. Aafia Siddiqui



"Banduan 650."

Itu nama lain bagi saudari seIslam kita, Dr. Aafia Siddiqui.

Pada bulan Ramadhan 2011, si ibu menerima panggilan telefon dari Aafia yang terpenjara di Amerika . Ibunya pun menangis bila terkenangkan nasib cucunya harus melalui penderitaan, cucu laki-lakinya masih hilang, dan anak perempuannya masih tidak jelas bila akan bebasnya, kecuali dengan redha Allah.

Tahukah apa yang Aafia katakan kepada ibunya?:

"Wahai ibu janganlah menangis, saya gembira!” (Subhanallah, kenapa dia gembira?) “Wahai ibu, setiap malam dalam mimpiku Rasulullah SAW mengunjungiku. Lalu Rasulullah SAW mengajakku untuk menemui isterinya Aisyah ra, dan mengenalkannya kepada isterinya dan beliau berkata pada Aisyah.. inilah puteriku Aafia..” Subhanallah. ( rujuk: tausyah.wordpress.com )


Siapakah Aafia?

Dr. Aafia Siddiqui dilahirkan di Pakistan dan menjadi rakyat Amerika merupakan satu-satunya saintis neurologi di dunia yang mempunyai PHD dari Universiti Harvard. Juga mempunyai 144 sijil dan ijazah kehormat dari institusi serata dunia termasuk dari MIT. Beliau juga seorang hafazan al-Quran dan seorang mujahidah. Tiada seorang wanita barat yang setara dan setanding dengan pendidikan beliau.

Beliau diculik bersama 3 orang anak kecilnya selama 5 tahun tanpa khabar berita sehinggalah 4 orang tahanan Bagram yang berjaya melarikan diri mendedahkannya tentang banduan 650 yang tidak ketahui namanya. Mereka hanya mengetahui dia adalah seorang wanita Pakistan dan seorang ibu yang dipisahkan dari anak-anaknya dan setiap hari mereka akan mendengar wanita tersebut menjerit akibat diseksa. Seterusnya Yvonne Ridley seorang wartawan Britain mendedahkannya secara besar-besaran di sidang wartawan tentang siapa sebenar banduan 650. Sejak dari itu seluruh dunia ingin tahu apa yang telah terjadi kepada Dr. Aafia dalam tempoh 5 tahun tersebut dari 2003-2008 dan apa kesalahan beliau dan kenapa tidak dibicarakan. Penipuan Amerika tentang tiadanya banduan wanita di penjara Bagram akhirnya terbongkar bersama skrip-skrip bodoh untuk meyelamatkan maruah FBI Amerika. ( Rujuk ucapan Yvonne tentang Aafia: youtube )

Semasa di dalam tahanan di Bagram beliau diseksa dan dirogol setiap hari dan dinafikan haknya sebagai seorang wanita. Dipaksa menggunakan tandas lelaki dan bilik mandi yang terdedah dan boleh dilihat oleh pengawal-pengawal penjara. Situasi beliau sepanjang penahanan tersebut amat meyedihkan sehingga beliau hilang ingatan. Nasib anak-anaknya selama 5 tahun tersebut juga tidak diketahui oleh sesiapa sehingga sekarang.

Sehingga kini tiada dakwaan tentang kegiatan beliau bersama Al-Qaeda oleh pihak Amerika hanya melainkan dakwaan cubaan membunuh seorang askar Amerika dan FBI semasa di dalam tahanan di Afghanistan. Amat pelik apabila perbicaraan ini dilakukan di Amerika sedangkan kesalahan tersebut dilakukan di Afghnistan. Juga tiada bukti yang beliau melakukan cubaan bunuh melainkan beliau ditembak di perutnya sesama di dalam tahanan oleh askar Amerika kononnya untuk keselamatan diri. ( rujukan: http://luv-ima.blogspot.com )

Aafia kekal di pusat tahanan Amerika di New York, dengan keadaan tahap kesihatan yang amat teruk, beliau juga sering dihadapkan dengan penghinaan yang memalukan, dibogelkan dan di siasat seluruh rongga dengan cara yang amat menghinakan setiap kali beliau menerima pelawat secara sah ataupun selepas muncul di mahkamah. Beliau kemudiannya menolak untuk berjumpa dengan para peguambela beliau. Satu laporan juga menyatakan bahawa beliau berkemungkinan menghidap kerosakan sel-sel otak dan sebahagian dari usus kecil beliau telah dipotong dan dibuang. Peguamnya berkata bahawa Aafia menunjukkan gejala-gejala yang konsisten dengan penghidap Tekanan Perasaan Disebabkan Trauma (Post Traumatic Stress Disorder).

Skrg tahun 2013, tiada kata pembebasan untuk saudari seIslam kita ini.

Tiada apa yang mampu kita lakukan. Hanya doakan yang terbaik buat beliau. Moga Allah menolong bukan sahaja beliau, malahan tahanan2 Muslim dan Muslimat di penjara2 Yahudi di luar sana. Andai beliau mati di dalam penjara dalam keadaan dianayai sedemikian rupa, mati beliau adalah mati syahid.

"Ya Allah! Tolonglah mereka yang dizalimi. Tolonglah kami umat Islam! Aamiiin."

Justice for Aafia.

24 Jan 2013

Teknik Mencintai Nabi SAW Menurut Al-Quran



"Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah S.A.W. Sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.


Manhaj Al-Quran

Di dalam surah Ali Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan-golongan yang layak bersama dengan Rasulullah SAW;



“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar” (Ali Imran:146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi SAW seperti berikut :

Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi SAW berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi SAW sebagaimana ikrar para sahabat "Pergilah Engkau S.A.W bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang."

Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu ‘Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam’.

Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi S.A.W tidak sudi mengaku sebagai ummatnya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka” HR Tabarani.

Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah SWT mencabar pendukung-pendukung agama Nabi SAW agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi SAW mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.



“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Ali Imran:142)



“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran:143)

Golongan pencinta Nabi SAW mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.


Cinta Nabi SAW Gaya Sahabat

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi S.A.W. Ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda S.A.W.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad S.A.W, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah S.A.W.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi S.A.W. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi S.A.W. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi S.A.W.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah S.A.W sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya, “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah S.A.W ditinggalkan diseksa oleh kamu semua...” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda S.A.W.

Muhasabah

Berdasarkan potongan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi S.A.W, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut :
Syurga tidak diperolehi semata-mata dengan memuja memuji Nabi S.A.W sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.

Umat Nabi S.A.W mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi S.A.W. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda S.A.W supaya gagah mendepani cabaran mendatang.

Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi S.A.W, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda SAW sedangkan tugas-tugas Baginda S.A.W kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi S.A.W setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.

Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah S.W.T dalam menyintai Rasulullah S.A.W dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

Esei Kiriman : Ust. Abdul Muizz bin Muhammad

19 Jan 2013

Hukum Membela Burung Dalam Sangkar



Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah wahaiMuhammad! Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya (al-A'raf: 32).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Kuda, baghal dan keledai dijadikan untuk kamu menungganginya dan sebagai perhiasaan (al-Nahl: ayat 8).

Ayat ini memberi maklum bahawa Allah s.w.t. menjadikan haiwan,tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasaan yang harus dinikmati manusia, maka berhias dengan barang-barang ini semua adalah harus dalam apa jua keadaan sekalipun. Kalaupun barang-barang hiasan ini dilarang, maka larangan itu disebabkan pembaziran, kesombongan yang lahir daripada penggunaan yang salah dan sebagainya.

Menikmati keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit berwarna-warni tidak salah dari segi pandangan Islam, tetapi hendaknya jangan melampaui batas-batas kesederhanaan, sehingga mengurangkan barang-barang keperluan hidup yang sepatutnya dimiliki anak-anak dan keluarga untuk kehidupan mereka.

Jika bunga yang berwarna-warni dalam pasu dan taman-taman harus dinikmati keindahannya, pokok-pokok yang indah segar harus dimiliki, sekalipun jika terpaksa mengeluarkan sedikit bayaran. Mengapa keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit tidak boleh dinikmati.
Menyekat kebebasan burung dalam sangkar tidak harus menjadi alasan pengharaman, kerana pokok-pokok bunga juga dikawal kebebasannya dalam pasu dan bekas-bekas kecil.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan: Bukan semua perkara yang menyenangkan hati itu dibenci Islam, bukan juga sesuatu yang disukai hati manusia itu buruk, tetapi dilarang mengambilnya jika syarak melarangnya kerana membawa kepada riak dan sombong. Insan memang sukakan sesuatu yang indah, suka supaya dilihat dirinya cantik, oleh itu mencari sesuatu yang disenangi jiwa tidak dilarang. Seseorang harus menyikat rambutnya dan tidak harus membiarnya kusut masai, menilik mukanya dalam cermin, membetulkan serbannya yang tidak cantik dilihat,memakai kain tebal di sebelah dalam dan memakai yang halus di sebelah luar supaya senang hati orang melihatnya (Jami' al-Ahkam, 7/97).

Berpandukan mukadimah ini, kita dapat menarik kesimpulan, iaituIslam tidak menentang sebarang perhiasan, perniagaan dan penggunaan barang-barang hiasan. Antara perhiasan termasuklah ayam serama, burung pipit dan ikan emas yang dibela untuk hiasan rumah.

Haiwan ini harus dibela, dijual dan diniagakan, tetapi hendaklah dengan syarat-syarat berikut:

1. Tidak bermaksud untuk berbangga dan bermegah-megah, sebagaimana adat orang mewah dan berada. Hukum pengambilan barang-barang hiasan itu bergantung kepada niat.
2. Jangan lekakan tanggungjawab kita kepada Allah seperti solat, tanggungjawab kepada keluarga, disebabkan oleh pembelaan haiwan dan sesuatu yang berupa hiasan.
3. Jangan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara seperti memberinya makan, minum dan keselamatannya.

Dalam sebuah hadis yang sangat popular tentang penyeksaan terhadap haiwan, baginda rasulullah s.a.w. memberi amaran terhadap seorang wanita yang memelihara kucing, tetapi tidak memberinya makan minum dan penjagaannya, lalu ia dimasuk ke neraka atas kesalahan itu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas ibnMalik r.a. katanya: Baginda rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling baik akhlaknya, baginda selalu datang ke rumahku dan selalu bertanya adikku Umair. Pada suatu hari, baginda datang dan bertanya: Oh AbuUmair ke mana perginya burung kecil engkau? Dijawabnya, burung masih dalam peliharaannya.

Melihat kepada hadis di atas jelas kepada kita bahawa nabi s.a.w. tidak melarang memelihara burung. Ini menunjukkan boleh memeliharanya. Jika perkara ini hukumnya haram, nescaya nabi s.a.w telah melarangnya dan menyuruh melepaskan burung tersebut.

Al-Damiru dalam kitabnya Hayat al-Haiwan menyatakan: Hadis di atas menjadi dalil harus memelihara burung dan berhibur dengannya. Berkata Abu al-Abbas al-Qurtubi: Membela burung terpaksa disekat kebebasannya dalam sangkar. Adapun menyeksa dan memain-mainkannya maka hukumnya haram, kerana nabi s.a.w. melarang menyeksa haiwan, kecuali kerana sembelih untuk dimakan sahaja.

Ibn Aqil al-Hanbali melarang menyekat burung dalam sangkar, kerana cara itu adalah suatu penyeksaan terhadapnya. Beliau mengambil dalilnyadaripada hadis Abu al-Dard' r.a. yang menyatakan: Pada hari kiamat akan datang burung-burung pipit, lalu membuat aduan kepada Allah, keranamanusia menyeksanya semasa di dunia dahulu.

Alasan ini dijawab oleh sesetengah ulama, iaitu hadis ini dituju kepada mereka yang menyeksa dan tidak memberinya makan dan minum.Al-Qaffal menyatakan, jika haiwan iaitu diberinya makan minum yang cukup, nescaya harus dibelanya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Damiri yang mengharuskan bela burung, ayam dan ikan untuk hiasan, dengan syarat hendaklah dijaga dengan cukup makan minum dan keselamatannya.

Wallahu a'laM...

11 Jan 2013

Ketika Salman Al-Farisi Ditolak Lamarannya

Salman al Farisi adalah salah seorang sahabat Nabi saw yang berasal dari Persia. Salman sengaja meninggalkan kampung halamannya untuk mencari cahaya kebenaran. Kegigihannya berbuah hidayah Allah dan pertemuan dengan Nabi Muhammad saw di kota Madinah. Beliau terkenal dengan kecerdikannya dalam mengusulkan penggalian parit di sekeliling kota Madinah ketika kaum kafir Quraisy Mekah bersama pasukan sekutunya datang menyerbu dalam perang Khandaq.

Berikut ini adalah sebuah kisah yang sangat menyentuh hati dari seorang Salman Al Farisi: tentang pemahamannya atas hakikat cinta kepada perempuan dan kebesaran hati dalam persahabatan.

Salman Al Farisi sudah waktunya menikah. Seorang wanita Anshar yang dikenalnya sebagai wanita mu’minah lagi shalihah juga telah mengambil tempat di hatinya. Tentu saja bukan sebagai pacar. Tetapi sebagai sebuah pilihan untuk menambatkan cinta dan membangun rumah tangga dalam ikatan suci.

Tapi bagaimanapun, ia merasa asing di sini. Madinah bukanlah tempat kelahirannya. Madinah bukanlah tempatnya tumbuh dewasa. Madinah memiliki adat, rasa bahasa, dan rupa-rupa yang belum begitu dikenalnya. Ia berfikir, melamar seorang gadis pribumi tentu menjadi sebuah urusan yang pelik bagi seorang pendatang. Harus ada seorang yang akrab dengan tradisi Madinah berbicara untuknya dalam khithbah, pelamaran.

Maka disampaikannyalah gelegak hati itu kepada shahabat Anshar yang telah dipersaudarakan dengannya, Abu Darda’.

”Subhanallaah. . wal hamdulillaah. .”, girang Abu Darda’ mendengarnya. Keduanya tersenyum bahagia dan berpelukan. Maka setelah persiapan dirasa cukup, beriringanlah kedua shahabat itu menuju sebuah rumah di penjuru tengah kota Madinah. Rumah dari seorang wanita yang shalihah lagi bertaqwa.

”Saya adalah Abu Darda’, dan ini adalah saudara saya Salman seorang Persia. Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah Shallallaahu ’Alaihi wa Sallam, sampai-sampai beliau menyebutnya sebagai ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar putri Anda untuk dipersuntingnya.”, fasih Abu Darda’ berbicara dalam logat Bani Najjar yang paling murni.

”Adalah kehormatan bagi kami”, ucap tuan rumah, ”menerima Anda berdua, shahabat Rasulullah yang mulia. Dan adalah kehormatan bagi keluarga ini bermenantukan seorang shahabat Rasulullah yang utama. Akan tetapi hak jawab ini sepenuhnya saya serahkan pada puteri kami.”

Abu Darda dan Salman menunggu dengan berdebar-debar. Hingga sang ibu muncul kembali setelah berbincang-bincang dengan puterinya.

”Maafkan kami atas keterusterangan ini”, kata suara lembut itu. Ternyata sang ibu yang bicara mewakili puterinya. ”Tetapi karena Anda berdua yang datang, maka dengan mengharap ridha Allah saya menjawab bahwa puteri kami menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ kemudian juga memiliki urusan yang sama, maka puteri kami telah menyiapkan jawaban mengiyakan.”

Keterusterangan yang di luar kiraan kedua sahabat tersebut. Mengejutkan bahwa sang puteri lebih tertarik kepada pengantar daripada pelamarnya. Bayangkan sebuah perasaan campur aduk dimana cinta dan persaudaraan bergejolak berebut tempat dalam hati. Bayangkan sebentuk malu yang membuncah dan bertemu dengan gelombang kesadaran. Ya, bagaimanapun Salman memang belum punya hak apapun atas orang yang dicintainya.

Namun mari kita simak apa reaksi Salman, sahabat yang mulia ini:

”Allahu Akbar!”, seru Salman, ”Semua mahar dan nafkah yang kupersiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!”

Betapa indahnya kebesaran hati Salman Al Farisi. Ia begitu faham bahwa cinta, betapapun besarnya, kepada seorang wanita tidaklah serta merta memberinya hak untuk memiliki. Sebelum lamaran diterima, sebelum ijab qabul diikrarkan, tidaklah cinta menghalalkan hubungan dua insan. Ia juga sangat faham akan arti persahabatan sejati. Apalagi Abu Darda’ telah dipersaudarakan oleh Rasulullaah saw dengannya. Bukanlah seorang saudara jika ia tidak turut bergembira atas kebahagiaan saudaranya. Bukanlah saudara jika ia merasa dengki atas kebahagiaan dan nikmat atas saudaranya.

“Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya.” [HR Bukhari]






sumber: facebook