31 Dec 2012

Mengenali Gerakan Sesat al-Ahbash

Muqaddimah

Masyarakat Islam di Malaysia hidup dengan aman dan permai dengan berpegangkan Mazhab Syafie dalam fiqh dan aliran Asya’irah dalam aqidah. Aliran Asya’irah merupakan salah satu aliran pemikiran golongan Ahli as-Sunnah Wa al-Jamaah, di samping aliran Salafi dan Maturidiyyah. Sungguhpun terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqh, dan juga cabang-cabang aqidah, manun khilaf ini tidak menimbulkan perpecahan dan permusuhan. Ini kerana sikap saling hormat menghormati masih wujud, di samping semua pihak memahami bahawa tiada siapa pun yang wajib dipegangi perkataannya secara mutlaq (seratus peratus) kecuali Rasulullah s.a.w. Namun, kedamaian dan sikap hormat menghormati ini akan digantikan dengan perpecahan dan permusuhan yang berpanjangan jika pengaruh kumpulan Ahbash masuk dan merebak di Negara yang tercinta ini. Dan tanah air ini mungkin tanah yang sangat subur bagi kumpulan ini (jika tidak diawasi), kerana mereka mendakwa berfahaman Asyairah dan bermazhab Syafie. Mereka juga bergerak dengan nama Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah.

Pengenalan Tentang Kumpulan Ini

Ia adalah satu kumpulan yang mula timbul di Lubnan di bawah pengaruh pengasasnya iaitu Abdullah al-Harari al-Habasyi. Kumpulan ini mengambil peluang daripada kejahilan dan kemiskinan kesan daripada perang saudara yang berlaku di sana untuk menyebarkan ajaran falsafah ilmu Kalam dan Tasauf Batiniah. Ia adalah dengan tujuan merosakkan pegangan aqidah umat Islam dan memecah belah kesatuan mereka yang mana akhirnya memalingkan mereka daripada perkara asasi (yang penting kepada mempersoalkan perkara yang remeh temeh) [WAMY: 427]

Pengasas Kumpulan al-Ahbash

Nama sebenar kepada Abdullah al-Harari al-Habasyi ialah Abdullah bin Muhammad. Digelar al-Harari al-Habasyi kerana dia berasal dari kawasan Harar di Habsyah. Pada asalnya dia mengikuti Thariqat Tijaniyyah dan dari situlah bermulanya keganjilannya. Kemudian dia mengikuti Thariqat Rifa’iyyah. Dari Habsyah beliau berhijrah ke Syria, dan kemudiannya ke Lubnan. Dan antara sebab penghijrahan beliau ialah kerana beliau telah menimbulkan masalah kepada Ma’had Tahfiz di sana, di mana beliau bersekongkol dengan pemerintah di sana sehingga menyebabkan Ma’had Tahfiz tersebut terpaksa ditutup dan Mudirnya (Pengetuanya, Ibrahim Hasan) pula terpaksa meringkuk 23 tahun dipenjara serta dibuang daerah. Dan disebabkan al-Harari bersekongkol dengan pemerintah di sana, ramai di kalangan ulamak di sana terpaksa lari ke Mesir dan juga Arab Saudi. Dari situlah beliau digelar sebagai al-Fattan (pencetus fitnah dan masalah), atau digelar juga Syeikhul Fitnah. [WAMY: 427]

Setelah berada di Lubnan, beliau mula menyebarkan ajaran aqidahnya yang mempunyai unsur syirik, unsur Jahmiyyah dalam masalah sifat Allah SWT, unsur Murji-ah, Jabariyyah, Tasauf Batiniyyah dan juga unsur Syiah, mencela sahabat, menuduh Siti Aisyah r.a. melakukan dosa di samping fatwa-fatwanya yang pelik. Namun, beliau berjaya mempengaruhi sebahagian pengikut yang mana akhirnya menganggap bahawa bukanlah muslim yang sebenar melainkan yang berfahaman sebagaimana fahaman beliau. [WAMY: 428].

Dan jika kita membaca biodata Syeikh al-Harari ini sebagaimana yang ditulis oleh kumpulan al-Ahbash, maka seolah-olah kita membaca biodata seorang ulamak terunggul yang jarang dijumpai di abad ini. Namun, hakikatnya biodata itu kebanyakannya tiada asas dan penuh dengan pembohongan. Dikatakan dia pernah menjadi Mufti di Somalia, namun hakikatnya dia tidak memahami bahasa Somalia pun, dan hanya sekali sahaja ke Somalia. Dikatakan berketurunan Quraish, sedangkan ia hanyalah dakwaan semata-mata. Dikaitkan dengan keramat-keramat seorang wali, sedangkan tidak dipastikan kesahihan cerita-ceritanya. Bahkan sampai tahap keramat yang dinisbahkan kepada Syeikh al-Habasyi bahawa Rasulullah s.a.w. datang ke rumahnya untuk mengajak beliau bertawaf bersama, dan akhirnya Nabi s.a.w. menghantarnya pulang ke rumah beliau, kerana menghormati keilmuan Syeikh al-Habasyi ini. [AHBASH, 1, 27- 79]

Ajaran Dan Pegangan Mereka

Kumpulan Al-Ahbash mendakwa mereka adalah bermazhab Syafie, namun sebenarnya mereka sangat jauh daripada fahaman Imam Syafie. [WAMY: 428]

Al-Habasyi menyangka bahawa Jibril yang mengatur lafaz al-Qur’an, dan bukannya Allah SWT. [WAMY: 428]

Dalam masalah keimanan, ada unsur Murji-ah dalam pegangan mereka. Ini kerana mereka memisahkan amalan dengan keimanan. Seseorang itu masih lagi mukmin sekalipun meninggalkan solat dan juga semua kewajiban. Kerana inilah mereka tidak menganggap satu kesalahan yang besar tidak berhukum dengan hukum Allah SWT. [WAMY: 428]

Dalam masalah Qadar, mereke terpengaruh dengan ajaran Jabariyyah. Ini kerana mereka menganggap Allah SWT yang membantu si kafir untuk kafir. Tanpa bantuan Allah SWT, si kafir tidak akan mampu untuk kufur. [WAMY: 429]

Al-Ahbash menggalakan supaya berdoa memohon hajat dengan kubur. Ini kerana mereka menganggap bahawa orang yang berada dalam kubur mampu untuk keluar membantu orang yang memohon bantuan dengan mereka. [WAMY: 429]

Al-Ahbash banyak menerima hadis dhoif dan juga palsu yang bersesuaian dengan pegangan mereka, sebagaimana mereka banyak menolak hadis sohih yang bercanggah dengan pegangan mereka. [WAMY: 429]

Al-Habasyi banyak mengutuk para sahabat Nabi s.a.w., terutamanya Muawiyah r.a. dan Siti Aishah r.a. Dia juga pernah mengkritik Khalid bin al-Walid r.a. Dan dia menganggap orang yang keluar daripada mentaati Saidina Ali mati dalam keadaan Jahiliyyah. (Pengaruh Syiah) [WAMY: 429]

Al-Habasyi menganggap bahawa Allah SWT menciptakan alam ini dan juga mengutuskan para Rasul tanpa sebarang hikmah. Dan sesiapa yang mengaitkan perbuatan Allah SWT dengan hikmah, maka dia adalah musyrik. [WAMY: 429]

Al-Habasyi telah mengkafirkan ramai ulamak. Dia menganggap bahawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah sebagai kafir, dan menganggap antara kewajiban yang utama bagi seorang mukallaf ialah mengkafirkan Ibn Taimiyyah. Begitu juga dia menganggap Imam az-Zahabi sebagai seorang yang keji. Dia juga menganggap bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai seorang penjenayah, pembunuh dan seorang yang kafir. Dia juga mengkafirkan Syeikh al-Albani, Sayyid Sabiq (menganggapnya sebagai seorang Majusi) dan juga Sayyid Qutb (menganggapnya sebagai seorang khawarij yang kafir). [WAMY: 429].

Bahkan al-Ahbash juga telah mengkafirkan Imam IBn Khuzaimah, dan menganggap kitab al-Tauhid karangan Ibn Khuzaimah sebagai kitab al-Syirk. Dan antara yang dikafirkan atau yang dianggap sesat oleh golongan al-Ahbash (selain tadi) ialah al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Imam Ibn al-‘Izz al-Hanafi, Mufti Lubnan Syeikh Hasan Khalid, Syeikh Muhammad Ali al-Juzu, Syeikh Yusof al-Qardhawi, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, Syeikh Hasan Qatharji, Dr Fathi Yakan, Dr Faisal Maulwi dan lain-lain lagi. [AHBASH, 2, 1167-1173].

10. Kumpulan Al-Ahbash sangat membenci orang yang menyanjung Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, dan mereka melabelkan golongan ini sebagai Wahhabi. Dan mereka sangat banyak memfitnah golongan ini. Antaranya mereka mengatakan bahawa golongan Wahhabi ini menyatakan bahawa Allah akan binasa kecuali mukaNya sahaja, Abu Lahab dan Abu Jahal lebih bertauhid daripada orang yang mengucapkan La Ilaha illah, bahkan Wahhabi membenci dan memerangi kalimah tersebut, aqidah Wahhabi sama dengan Yahudi yang mengatakan Allah penat setelah menciptakan langit dan bumi. Bahkan mereka menyatakan bahawa Imam Wahhabi akan marah bila disebut nama Nabi s.a.w., dan membenci untuk berselawat kepada baginda, dan menganggap orang yang menyaringkan berselawat selepas azan seolah-olah berzina dengan emak sendiri. Inilah antara fitnah-fitnah yang telah dilemparkan oleh golongan Ahbash terhadap pencinta golongan Salaf. [AHBASH, juz 2, m/s1148-1165].

Senjata inilah yang biasa digunakan oleh al-Ahbash untuk golongan yang tidak sebulu dengan mereka, dengan menuduh mereka sebagai Wahhabi. Berkata Dr Yusor Qardhawi: “Antara perkara yang pelik ialah golongan al-Ahbash menuduhku sebagai seorang Wahhabi yang taksub dengan ulamak-ulamak Wahhabi…” [Fatawa Qardhawi: 3, 689]

11. Golongan al-Ahbash sangat mudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka juga mewajibkan untuk mengkafirkan Muktazilah, sedangkan Imam Nawawi menyatakan: “Para salaf dan khalaf menganggap tidak mengapa bersolat di belakang Muktazilah dan yang seumpama mereka (yang sesat), mengahwini mereka, mewarisi harta mereka…”[al-Majmu’, juz 4, m/s 254]. Mereka juga mengkafirkan sesiapa sahaja yang melakukan perkara kekufuran, sekalipun dengan jahil hukumnya. [AHBASH, 2, 645-697]

12. Al-Ahbash juga mengkafirkan seseorang secara mu’ayyan (menentukan nama seseorang), sedangkan para ulamak muslimin hanya menyebutkan asas-asas yang boleh membawa kepada kekufuran, tanpa menentukan nama seseorang. Mereka juga tidak menerima alasan jahil sebagai uzur (yang menghalang) daripada menjadi kafir. Dan antara perkataan yang boleh membawa kafir pada pandangan mereka ialah berkata kepada seorang kafir: “Semoga Allah memuliakanmu”, atau “Semoga Allah mengampunkanmu”. Begitu juga kafir orang yang menamakan tempat-tempat ibadat orang kafir sebagai rumah Allah. [AHBASH, 2: 645-661]

13. Al-Ahbash juga mengkafirkan sesiapa sahaja yang jahil sifat Allah SWT yang thabit dengan akal, tetapi (tidak kafir) jahil sifat Allah yang thabit dengan naql (Qur’an dan Hadis), sedangkan Imam Syafie berkata: “Dan kami tidak akan mengkafirkan seorangpun yang jahil tentangnya (sifat-sifat Allah) melainkan setelah sampai khabar (ilmu) tentangnya (sifat-sifat Allah) kepadanya”. Dan yang thabit dengan akal pada pandangan mereka ialah sifat Allah yang tiga belas itu. [AHBASH, 2, 677-683]

14. Al-Ahbash tidak menerima pembahagian tauhid kepada Tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah dan al-Asma’ Wa as-Sifat. Bahkan mereka menganggap pembahagian ini adalah satu perkara yang bid’ah, sedangkan ketiga-tiga tauhid ini disebutkan dengan jelas di dalam al-Qura’n. [AHBASH, 1, 228-237]

15. Al-Habasyi juga menyanjung Ibn Arabi yang berfahaman “Wehdatul Wujud” dan menganggapnya sebagai Syeikhul Islam. [WAMY: 429] Sedangkan kita memahami bahawa tiada satu kekufuruan yang melebihi kekufuran “Wehdatul Wujud”.

16. Al-Habasyi mengajak kepada mengikuti ajaran tasauf, Tarikat Naqsyabandiyyah dan juga Tarikat Rifa’iyyah. [WAMY: 429].

17. Al-Habasyi juga banyak mengeluarkan fatwa yang menyimpang. Dia mengharuskan menggunakan helah dalam perkara keagamaan. Dia menghalalkan melihat kepada perempuan. Bahkan tidak mengapa bersalaman dengan perempuan, dan boleh bagi perempuan keluar dalam keadaan berhias dan memakai bau-bauan, walaupun tanpa keizinan suami. [WAMY: 430]

18. Al-Ahbash juga menganggap si kaya yang memiliki kekayaan wang ringgit (sekalipun banyak) tidak perlu mengeluarkan zakat, bahkan boleh memakan riba (dalam wang ringgit) dengan alasan ia bukanlah emas dan perak. [Fatawa Qardhawi, 3, 685].

19. Mereka juga membolehkan seseorang meninggalkan solat fardhu jumaat jika memakan bawang atau meletakkannya di dalam poket bajunya. [Fatawa Qardhawi, 3, 685].

20. Al-Ahbash telah menimbulkan kekacauan kepada kaum muslimin di Amerika dan Kanada berkaitan dengan kiblat, sehingga akhirnya dibina masjid yang khusus untuk mereka. Ini kerana mereka telah mengubah kiblat sebanyak 90 darjah, yang menyebabkan mereka menghadap kepada bukan kiblat kaum muslimin. Ini kerana mereka menganggap bahawa bumi ini berbentuk separuh bulat seperti bentuk separuh sebiji limau.

Manakala di Lubnan pula, mereka akan bersolat setelah selesainya jemaah masjid. Mereka juga dikenali dengan suka menggunakan masjid untuk menyebarkan fahaman sesat mereka (tanpa keizinan sehingga sanggup memukul para imam masjid). [WAMY: 430]

21. Al-Ahbash juga menganggap bahawa syafaat Nabi s.a.w. hanyalah untuk orang yang melakukan dosa-dosa besar sahaja, dan tiada syafaat untuk golongan yang bertakwa. Kerana inilah ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa kita tidak memerlukan syafaat Nabi s.a.w., kerana kita bukannya orang yang melakukan dosa-dosa besar.

Kajian Dan Penulisan Tentang Kumpulan Ahbash

Allah SWT akan sentiasa menjaga kesucian agama Islam. Kerana inilah bila timbulnya sebarang kesesatan, maka sudah tentu akan ada golongan yang Allah pilih untuk memperbetulkan keadaan. Samalah juga bila timbulnya golongan Ahbash, ramai ulamak bangun menetang dan menulis tentang kesesatan dan kepincangan method golongan ini. Dan antara ulamak yang paling banyak menulis tentang kepincangan golongan al-Ahbash ialah Syeikh Abdul Rahman ad-Dimasyqiyyah. Beliau telah menulis beberapa buku tentang kesesatan golongan Ahbash. Dan kajian tentang golongan ini yang paling terperinci (yang saya tahu) ialah tesis PhD di Universiti Umm al-Qura, Makkah yang ditulis oleh Dr. Saad bin Ali as-Syahrani. Beliau telah menulis lebih daripada 1300 muka surat tentang golongan ini (dan tesis ini telah dibukukan dan dicetak dalam dua jilid).

Fatwa Ulamak Tentang Golongan Ini.

Ramai ulamak yang mengeluarkan fatwa tentang kesesatan golongan ini dan bala perpecahan yang dicetuskan oleh mereka, samada secara lisan atau bertulis. Dan antara fatwa yang telah ditulis tentang golongan ini ialah fatwa Syeikh Dr. Yusof Abdullah al-Qardhawi. Beliau telah menganggap bahawa golongan ini adalah pencetus kepada masalah dan telah meruntuhkan perpaduan kaum muslimin. Beliau menganggap golongan ini sangat bahaya kerana suka mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka, dan juga mengkafirkan ramai ulamak. Qardhawi juga menganggap bahawa mereka sangat jauh dari apa yang mereka dakwakan bahawa mereka adalah pengikut Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Sayafie. Beliau juga menganggap bahawa golongan ini adalah golongan yang jahil yang tidak mempunyai adab. Kerana inilah beliau tidak menyahut seruan debat golongan Ahbash kerana menganggap bahawa mereka tidak layak untuk berdebat dengan beliau. [lihat Fatawa Qardhawi, juz 3, m/s 685-710].

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili juga berfatwa tentang kumpulan Ahbash. Beliau menyatakan bahawa mereka adalah golongan sesat dan menyesatkan. Maka wajib menjauhi mereka dan berwaspada dengan mereka. Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal…kerana itu hendaklah betul-betul berwaspada dengan mereka. (Jawapan lisan yang beliau berikan ketika ditanya tentang kumpulan Ahbash dan ia boleh didapati dalam laman web yotube). Beliau juga pernah menyarankan supaya jangan menerima pinangan ahli kumpulan Ahbash kerana pendapat dan fikrah kumpulan ini berbeza dengan majoriti umat Islam. Beliau bimbang timbulnya perbalahan dan masalah kerana pendapat kumpulan ini yang syaz (ganjil dan pelik). [Rujuk: bankahbash.blogspot.com/]

Dr. Mohd Said Ramadhan al-Buthi pula menyatakan bahawa kumpulan ini banyak mengkafirkan kaum muslimin. Mereka mengkafirkan Syeikh Mutawalli Sya’rawi, Qardhawi dan mereka juga mengkafirkanku. Boleh jadi mereka menganggap hanya mereka sahaja kaum muslimin yang ingin sampai kepada Allah. [Rujuk: bankahbash.blogspot.com/]

Mufti Mesir, Dr. Ali Jumu’ah dalam fatwanya menyatakan bahawa Kumpulan Ahbash ini ada zahir dan batinnya. Zahirnya mereka bermazhab Syafie dalam fiqh dan mazhab Imam al-Asy’ari dalam aqidah. Dan batinnya pula ialah mengkafirkan kaum muslimin, memburukkan kaum mukmin, dan bekerja (dengan bayaran) untuk musuh-musuh Islam dan kaum muslimin. Beliau juga menyatakan bahawa kumpulan Ahbash bersekongkol dengan Yahudi dan kuncu-kuncunya. Dan katanya lagi, demi melebarkan pengaruhnya, kumpulan ini sentiasa menyelindungi hakikat sebenar mereka, kerana itulah batin yang tersembunyi tidaklah ditulis dalam buku-buku mereka. Disebabkan keterlaluan mereka dalam menimbulkan fitnah, Dr Ali menyatakan, bahawa tidaklah diketahui apakah penyakit jiwa atau penyakit akal yang menimpa mereka sehingga mereka melampaui dalam perkara yang mereka sendiri tidak mengetahuinya. Beliau juga menytakan sudah keluar beberapa fatwa yang rasmi tentang keburukan kumpulan ini. Antaranya Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah, Universiti Azhar, al-Hai’ah al-Ammah Li Idarah al-Buhuth al-Ilmiyyah Wa al-Ifta’ Wa al-Da’wah Wa al-Irsyad, (Majlis Fatwa Arab Saudi), dan al-Majlis al-A’la Li al-Ifta’ di Amerika Utara. [Rujuk: http://www.islamonline.net] (Dan fatwa ini telah disiarkan di Islamonline.net pada 24 November 1999)

Rektor Universiti Azhar Dr Ahmad Umar Hasyim juga menyatakan bahawa Universiti al-Azhar tidak mempunyai sebarang kaitan dan perjanjian persefahaman dengan kumpulan Ahbash ini. Ini kerana Universiti al-Azhar tidak akan mengadakan sebarang perjanjian kerjasama dengan kumpulan yang tidak jelas pegangannya al-Qur’an dan juga Hadis. (Surat bertarikh 28 Ogos 2001, bersamaan 9 Jamadil Akhir 1422H, yang difakskan oleh beliau kepada Mudir (Ketua Eksekutif) Rabitah al-Alam al-Islami).


Kesimpulan

Kumpulan Ahbash adalah satu kumpulan yang mana zahirnya mereka menampakkan keIslaman, namun batinnya ia cuba memusnahkan ajaran Islam yang suci ini. Ajaran Ahbash yang menyeleweng dan sikap mereka yang suka mengkafirkan orang yang tidak sependapat dengan mereka adalah satu perkara yang boleh menimbulkan konflik dalam perpaduan masyarakat Islam. Apatah lagi sikap mereka yang suka memfitnah dan memburuk-burukkan sesiapa sahaja yang menyanjung Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Imam Muhammad bin Abdul Wahhab. Ini boleh memburukkan lagi keadaan. Kerana itu, janganlah kita terpengaruh dengan ajaran sesat ini, dan juga tingkah laku mereka yang suka memburuk-burukkan orang lain. Al-Ahbash telah menjadikan ulamak dan kaum muslimin sebagai musuh mereka dan bukannya Yahudi dan si kafir yang menindas kita.

Inilah pengenalan ringkas tentang kumpulan Ahbash. Semoga kita semua terselamat daripada bala kesesatan, fitnah memfitnah dan perpecahan. Amin.






Rujukan:

1. Tesis PhD tentang al-Ahbash, karangan Dr. Saad bin Ali as-Sayhrani (AHBASH). [http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1241]

2. Al-Mausu’ah al-Muyassarah Fi al-Adyan Wa al-Mazahib al-Mu’asirah, terbitan al-Nadwah al-Alamiyyah Li as-Syabab al-Islami [WAMY] [http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1243].

3. Fatawa Syeikh Dr Yusof al-Qardhawi.

4. http://www.islamonline.net

5. http://bankahbash.blogspot.com/

26 Dec 2012

Kisah Sebelum Saidina Umar Al-Khattab Memeluk Islam

Hati kecilnya tidak sanggup lagi melihat abangnya terus-menerus menjadi seteru Allah. Sejak Islam bersinar di bumi yang kontang itu,entah sudah berapa nyawa yang rebah hasil perbuatannya. Dia menyedari tiada kekuatan yang ampuh untuk menghalang segala kedurjanaan abangnya. Kerana abangnya terkenal dengan sikap bengis,keras kepala dan tidak mahu tunduk kepada sesiapa pun. Lantaran keperibadiannya itu membuatkan kaumnya takut,tunduk dan terpaksa hormat kepadanya. Masa terus berlalu,kedurjanaan itu semakin meresahkan hati Fatimah. Dikala itu hanya Tuhan saja yang tahu isi hatinya.

Sikap abangnya yang terlalu menghina dan memusuhi Islam sangat menghiris hatinya. Segala peristiwa itu membuatkan Fatimah rasa malu pada Rasulullah s.a.w dan para sahabat,lebih-lebih lagi pada Allah s.w.t Itu semua membuatkan ia bangun ditengah malam untuk menceritakan segalanya pada Tuhan. Tuhan Yang Maha Baik tentu tidak akan melupakan hambanya. Fatimah pernah mendengar Rasulullah berdoa,demikian bunyinya: “Wahai Allah s.w.t ,muliakan Islam dengan salah seorang dari dua Umar,Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.” Fatimah berharap sangat agar Tuhan memilih abangnya,Umar bin Al Khattab untuk menguatkan Islam.

Walaupun sifat abangnya terlalu garang,keras kepala,tegas dalam mempertahankan pendiriannya,dan menyeksa hambanya yang memeluk Islam hingga ada yang mati. Menurut sejarah,11 orang pernah diseksa oleh Umar hingga ada yang mati dan tercedera. Fatimah rasa bertanggungjawab untuk membetulkan dan mengislamkan abangnya. Tapi apalah dayanya,sedangkan keIslamannya sendiri masih disembunyikan dari pengetahuan abangnya. Kalau Umar tahu dia telah Islam,tentu buruk padahnya. Tentu berbagai penderitaan dan seksaan akan menimpanya. Sebab itulah Fatimah hanya mampu berdoa dan merintih kepada Allah siang dan malam. Semoga Allah selesaikan masalahnya segera. Bukankah Allah pernah berfirman dengan maksudnya:

“Pintalah kepada-Ku,nescaya Aku akan kabulkan permintaanmu.”

Fatimah Al-Khattab yakin sungguh-sungguh bahawa Tuhan tentu tidak memungkirkan janji-Nya. Kiranya dia benar-benar menyerah diri kepada Allah dengan penuh yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyelesaikannya. Tuhan yang Maha Penyayang,Maha Pengasih,Maha Mengetahui, Maha Mendengar lagi Maha Agung tentu mendengar rayuannya setiap hari dan pasti akan menunaikan permintaannya. Pada suatu malam,Fatimah dan suaminya Said bin Zaid membuka kembali lembaran - lembaran kalam Allah yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Fatimah melagukan ayat-ayat itu dengan alunan irama yang indah,air matanya melimpah keluar ketika menghayati maksud dari ayat-ayat tersebut. Suaminya yang memerhati dan menyemak segala bacaannya turut terharu. Ayat-ayat yang dibaca oleh Fatimah menusuk kedalam jantungnya ,tenggelam dalam hatinya dan terus bertebaran ke dalam urat sarafnya.

Sedang masing - masing khusyuk menghayati maksud ayat Al-Quran itu,tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang mengintip dan memasang telinga mendengar ayat yang dibaca. Mata itu memandang dengan pandangan sinis tanpa berkelip - kelip,merah menyala menahan marah. Walaupun kalimah yang dibaca itu agak kurang jelas namun dia yakin bahawa kedua suami isteri itu kini telah Islam sebagaimana kata seorang pemuda yang ditemuinya sebentar tadi. Dengan suara lantang,Umar menjerkah mereka. Fatimah tersentak lalu cepat-cepat dia menyimpan lembaran itu.

“Kalimah apa yang aku dengar tadi??” Mereka berpura-pura menggeleng-gelengkan kepala menandakan tidak tahu.

“Aku mendengar kamu berdua telah mengikut agama Muhammad?Benarkah begitu?” jeritnya bagaikan halilintar. “Apa pendapatmu sekiranya agama selain agamamu itu adalah benar?” jawab adik iparnya Said. Mendengar itu Umar melompat ke arah iparnya itu,terjadilah pergelutan. Umar menarik janggut Said. Said terlentang,lalu diduduki oleh Umar di atas dadanya,sehingga tidak bergerak.Melihat kejadian itu Fatimah menolak badan Umar untuk membela suaminya. Spontan Umar berdiri lalu menempeleng muka adiknya. Fatimah terjatuh,dan darah merah mengalir keluar dari hidung dan mulutnya.

Fatimah bangkit dari tempat jatuhnya,tiba-tiba seakan-akan ada satu seruan yang menggesanya supaya mengatakan sesuatu kerana masa itulah saat yang paling sesuai untuk diterangkan mengenai Islam. Tanpa menghiraukan darah yang berhamburan itu Fatimah berkata dengan penuh keyakinan: “Wahai musuh Allah,engkau pukul kami kerana kami mengEsa kan Allah. Engkau boleh buat sesuka hatimu. Sekalipun engkau bunuh kami,kami tetap mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah,dan bahawa Muhammad s.a.w itu adalah Rasul Allah,yang akan membersihkan dunia ini dari sebarang kezaliman dan penindasan.

”Darah yang mengalir keluar dari hidung dan mulut Fatimah serta jawapannya yang begitu berani,membawa kesan yang mendalam pada jiwa Umar. Dengan tiba-tiba dia rasa menyesal dan sedih atas tindakannya yang melulu itu. Dia merasa bersalah kerana memukul adik kandungnya sendiri.

Dengan suara merendah,Umar berkata: “Berikan aku apa yang kamu baca tadi.”

Fatimah agak keberatan memberi kan lembaran itu tetapi melihatkan kesungguhan abangnya yang ingin mengetahui akhirnya Fatimah mengeluarkan lembaran ayat Al-Quran itu dan diberikan kepada Umar. Ayat tersebut berbunyi: “Kami tidak menurunkan Al-Quran itu kepadamu agar kamu mendapat kesusahan,tetapi sebagai peringatan bagi orang-orang yang takut (kepada Allah). Diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi (iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas arasy.” [Surah Thaha: 1-5]

Berkata Sayidina Umar Al-Khattab: "Aku mengamati semua sahabat,dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua jenis pakaian,tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada taqwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik,namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki,tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar. Umar berpaling pada Fatimah seraya berkata “Alangkah baik dan indahnya kalimah-kalimah ini.”

Mendengar jawapan tersebut keluar dari bibir Umar,Fatimah terasa seakan - akan bermimpi tapi bila sedar kembali itulah sebenarnya kenyataan. Fatimah berkata sambil menyebut kata-kata Rasulullah: “Ya Allah,kuatkanlah Islam dengan Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.Maka Allah telah memilih Umar,saudaraku sendiri.” Tiga kali Fatimah menyebut nama Allah kerana terlalu berterima kasih pada Tuhan yang telah memperkenankan doa Rasulullah s.a.w dan rintihan hatinya selama ini. Jiwa Umar kini telah berubah,jiwanya kini telah disinari dengan cahaya iman dan hidayah.

Umar berkata kepada Fatimah: “Tunjukkan kepadaku dimana Muhammad berada,aku akan datang padanya demi Islam.” Setelah memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w berada dirumah Arqam bin Abi Arqam,Umar bergegas meninggalkan mereka untuk mendapatkan Rasulullah s.a.w Kalau sebelum ini tujuannya adalah untuk memerangi Rasulullah tapi kini untuk berdamai dan menyatakan keislamannya.

Fatimah memandang suaminya,Said tersenyum,Fatimah turut tersenyum gembira. Setelah membersihkan darah yang keluar dari hidung dan mulutnya,Fatimah lantas sujud syukur kepada Allah. Bersyukur kerana telah menyelesaikan masalahnya. Bersyukur kerana Allah telah menyelamatkan saudara kandungnya dari terus kufur. Begitulah seorang wanita yang terpimpin hatinya. Wanita yang kaya jiwanya dengan segala sifat kesabaran,redha,dan tawakal pada Allah s.w.t. tenang berada dalam penderitaan,hatinya mengenagi Allah dengan rasa takut dan harap kepada-Nya. Hatinya sentiasa merasa kehebatan,keagungan,kemurahan dan kasih sayang Allah s.w.t Setiap masa yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk berfikir, mencari dan mengenali Allah s.w.t .

Matanya digunakan untuk membaca ayat-ayat Allah sebanyak- banyaknya. Telinganya digunakan untuk mendengar tentang Allah. Kaki dan tangannya digunakan untuk berbakti kepada Allah. Kesimpulannya seluruh anggotanya digunakan untuk mencari keredhaan Allah. Maka di dunia lagi Allah beri kemenangan kepadanya. Sejuklah hati Fatimah melihat abangnya kini bukan lagi seperti abangnya dulu.

Telah berubah menjadi manusia yang sempurna lahir dan batin. Hasil dari kesungguhan Umar bermujahadah,Allah muliakan darjatnya sebaris dengan para sahabat yang lain seperti Sayidina Abu Bakar yang dijamin syurga. Sebelum tidur,dia mengenang kembali perbuatannya sepanjang hari. Kalau dia terbuat sesuatu yang tidak disukai Allah s.w.t ,Umar akan merotan badannya sendiri hingga bengkak - bengkak. Didermakan separuh dari hartanya untuk membantu memperjuangkan agama Islam.

Doa Sayidina Umar yang paling terkenal: “Ya Allah, sibukkanlah aku dalam urusan agama-Mu.”

Saidina Umar Al - Khattab paling kuat mempertahankan hukum Allah. Pada masa ia menjadi khalifah,satu ketika anaknya sendiri terlajak membuat maksiat,Anak itu dihukum sesuai dengan hukum syariat Islam,dan akhimya anak itu mati ketika menjalani hukuman tersebut. Ketegasan Umar membezakan perkara yang hak dan yang batil membuatkan beliau digelar ‘Al Farouq’.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya ada nabi selepasku nescaya Umarlah orangnya.”

Begitulah kehebatan Saidina Umar Al-Khattab. Namun,tentunya kita tidak melupakan adiknya, Fatimah kerana di rumah Fatimahlah,menjadi tempat terbukanya jiwa Umar menerima cahaya llahi.Maka atas dasar itulah sesuai sekali Fatimah digolong dalam kelompok wanita solehah ,wanita mukmin sejati yang begitu berani mempertahankan keyakinan dan imanannya.

Selain dari itu kehebatan Sayidina Umar ialah ia seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga,baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui darimana ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu. Tanpa berlengah,

Umar bertanya kepada lelaki itu: “Dari manakah kamu dapat susu ini?”

Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan dipadang pasir. Unta-untanya itu meragut rumput di situ.” Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.Umar berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

"Siapa yang banyak cakap,banyaklah salahnya,bila banyak salahnya, banyaklah dosanya,bila banyak dosanya,maka neraka adalah yang utama baginya" - [SAYIDINA UMAR AL-KHATTAB]

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati,dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

“Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini,” kata Umar. Mendengar berita itu,isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isteri Umar. Umar tidak berkata apa-apa.Sejenak kemudian,beliau bersuara: “Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?” Tidak ada orang yang menjawab.

Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya. Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: “Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?” Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata:

“Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita.” Oleh kerana itu,Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.



25 Dec 2012

Latifah binti Hussin Al-Soli : Isteri Pilihan Ibu Hassan Al-Banna



Latifah binti Hussin Al Soli adalah isteri pilihan ibu Hasan Al Banna. Kisah bermula apabila si ibu berkunjung ke rumah Hussin Al Soli lalu mendengar suara seorang gadis sedang membaca al Quran. Keduanya ditunangkan pada 1 Ramadan dan dikahwinkan pada 27 Ramadan.

Hasan Al Banna memanggi Isterinya “Wahai Ummu Wafa” dan Latifah memanggil suaminya “Wahai Ustaz Hasan.” Sebagai ketua Ikhwan Muslimin rumah mereka sering dikunjungi orang ramai sedangkan rumah mereka kecil sahaja. Pernah Latifah mencadangkan kepada suaminya mencari rumah yang lebih selesa.

“Wahai Ummu Wafa, istana kita menanti di syurga, Yakinlah bahawa Allah tidak akan mensia-siakan usaha kita di dunia ini,” kata Hasan Al Banna. Latifah akur dengan kata-kata suaminya itu.

Pada hari Hasan Al Banna ditembak Latifah melahirkan seorang bayi perempuan lalu dinamakan Istisyhad artinya orang yang syahid. Setelah pemergian suaminya Latifah terus mendidik anak-anaknya sehingga menjadi orang yang berjaya.

Anak-anak Hasan Al Banna:

1.Wafa – Berusia 17 tahun ketika ayahnya syahid. Berkahwin dengan Dr. Said Ramadhan.

2.Ahmad Saiful Islam, berusia 14 tahun ketika ayahnya syahid. Beliau seorang peguam dan pernah menjadi Ahli Parliman Mesir.

3.Tsana, berumur 11 tahun ketika ayahnya syahid. Pensyarah di Universiti Kaherah.

4.Roja, berumur 5 tahun ketika ayahnya syahid. Beliau Seorang Doktor.

5.Halah berumur 2 tahun ketika ayahnya syahid. Pensyarah di Universiti Al Azhar.

6.Istisyhad, lahir pada hari ayahnya syahid. Dinamakan Istisyhad bermakna memburu syahid. Beliau Seorang pensyarah.




sumber: facebook

22 Dec 2012

Hajarul Aswad dan Rahsia Menciumnya


Hajar Aswad adalah batu hitam yang terletak di sudut sebelah Tenggara Ka’bah, iaitu sudut dari mana Tawaf dimulai. Hajar Aswad merupakan jenis batu ‘Ruby’ yang diturunkan Allah dari syurga melalui malaikat Jibril. Hajar Aswad terdiri dari lapan keping yang terkumpul dan diikat dengan lingkaran perak.

Batu hitam itu sudah licin kerana terus menerus di kecup, dicium dan diusap-usap oleh jutaan malah milion manusia sejak Nabi Ibrahim a.s, iaitu jamaah yang datang ke Baitullah, baik untuk haji mahu pun untuk tujuan Umrah.

Hadist Sahih riwayat Imam Bathaqie dan Ibnu ‘Abas RA, bahawa Rasul SAW bersabda:

“Allah akan membangkitkan Al-Hajar (Hajar Aswad) pada hari kiamat. Ia dapat melihat dan dapat berkata. Ia akan menjadi saksi terhadap orang yang pernah memegangnya dengan ikhlas dan benar”.

Hadis tersebut mengatakan bahawa disunatkan membaca doa ketika hendak istilam (mengusap) atau melambainya pada permulaan thawaf atau pada setiap putaran, sebagai mana, diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA. Artinya:

“Bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Ka’bah lalu diusapnya Hajar Aswad sambil membaca Bismillah Wallahu Akbar”.


Asal Usul Hajar Aswad

Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Ka'bah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Ka'bah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk.

Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail mahu membinanya dengan meninggikan bangunannya dan mengangkut batu dari berbagai gunung. setelah bangunan Ka'bah itu hampir selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasa kekurangan seketul batu lagi untuk diletakkan di Kaabah.

Nabi Ibrahim berkata pada Nabi Ismail, "Pergilah engkau mencari seketul batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."

Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik.

Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, "Dari mana kamu dapat batu ini?"

Nabi Ismail berkata, "Batu ini kuterima dari yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)."

Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa saja yang bertawaf di Ka'bah disunnahkan mencium Hajar Aswad.

Hajar Aswad terdiri dari lapan keping yang terkumpul dan diikat dengan lingkaran perak



Rahsia Besar Yang Tidak Pernah Kita Bayangkan Sebelumnya

1. Satu riwayat Sahih dinyatakan: “HajarAswad dan Makam Ibrahim berasal dari batu-batu ruby syurga yang kalaulah tidak kerana sentuhan dosa-dosa manusia akan dapat menyinari antara timur dan barat. Setiap orang sakit yang memegangnya akan sembuh dari sakitnya”

Hajar Aswad dicium oleh berjuta-juta jemaah haji

Duhulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih, tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Ka'bah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam.

2. "'Barangsiapa menunaikan ibadah haji, dan ia tak berbuat rafats dan fasik, maka ia kembali (suci dan bersih) seperti anak manusia yang baru lahir dari perut ibunya.'' (Muttafaqun alaihi).

3. Mencium hajar aswad pada masa menunaikan Haji Di Baitullah tidak dapat diwakilkan, Ia menjadi penyedut dosa tanpa kita sedari, alangkah beruntungnya orang yang boleh menyentuh, mengusap dan memegangnya.

Hadis Siti Aisyah RA mengatakan bahawa Rasul SAW bersabda:

“Nikmatilah (peganglah) Hajar Aswad ini sebelum diangkat (dari bumi). Ia berasal dari syurga dan setiap sesuatu yang keluar dari syurga akan kembali ke syurga sebelum kiamat”.


Akhir kata, Kita semua tahu jika Hajar Aswad hanyalah batu yang tidak memberikan mudarat atau manfaat, begitu juga dengan Ka’bah, ia hanyalah bangunan yang terbuat dari batu.


Ibadah haji yang dihadiri berjuta-juta umat Islam

Akan tetapi apa yang kita lakukan dalam proses ibadah haji tersebut lebih baik kita niatkan sekadar mengikuti ajaran dan sunnah Nabi SAW.

Umar bin Khatab pun juga pernah mengatakan “Aku tahu bahawa kau hanyalah batu, kalaulah bukan kerana aku melihat kekasihku Nabi SAW menciummu dan menyentuhmu, maka aku tidak akan menyentuhmu atau menciummu”

Jadi apa yang dikerjakan berjuta juta umat islam bukanlah menyembah Batu seperti yang banyak dituduhkan kaum yang kerdil sekali akalnya.

Kerana ada rahsia besar dibalik setiap perilaku Nabi Muhammad saw dan sebab tentu saja apa yang dilakukan oleh beliau pastilah berasal dari Allah, sebagaimana yang terdapat dalam firmanNya :

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan"
(QS. An-Najm : 53)

Allaaahu Akbar, tiada tuhan lagi yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad Saw adalah utusan Allah. Muhammad hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul.






sumber: hasnulhadiahmad.com

Cara-Cara Khalifah Berbelanja

Dalam tempoh masa enam bulan pertama bertugas sebagai khalifah, Saiyidina Abu Bakar tidak menerima apa-apa bayaran atau gaji. Untuk menyara hidup diri dan keluarganya, Saiyidina Abu Bakar menggunakan setengah harinya untuk berniaga. Pekerjaan berniaga ini memang kerjayanya sebelum diangkat sebagai khalifah.

Tugas sebagai seorang khalifah memang berat. Oleh itu Saiyidina Abu Bakar mengambil keputusan untuk berhenti berniaga. Keputusan ini tidak dibuatnya secara berseorangan, melainkan mellaui mesyuarat dengan para sahabat besar yang lain. Hasil mesyuarat itu juga memperuntukkan 6,000 dirham setahun kepada Saiyidina Abu Bakar, yang cukup untuk menyara diri dan keluarganya, tidak cukup untuk bermewah-mewah. Begitulah kehidupan seorang khalifah, ketua umat Islam seluruh dunia walaupun jawatan khalifah ini jauh lebih besar daripada jawatan presiden, raja atau menteri pada hari ini.

Sudahlah begitu, Saiyidina Abu Bakar menganggap gajinya itu sebagai hutang, padahal dia memang berhak menggunakannya. Dia berpesan kepada keluarganya agar membayar kembali gajinya itu setelah kematiannya, menggunakan harta-hartanya yang masih tinggal.

Ketika hampir mati, Saiyidina Abu Bakar berpesan kepada anaknya Saiyidatina ‘Aisyah : “Sesungguhnya sejak kami diangkat menjadi khalifah, kami tidak pernah mengambil walau satu dinar atau satu dirham pun harta umat Islam, tetapi kami memakai kain kasar (*sebagaimana) mereka dan memakan makanan tumbuk kasar (*juga sebagaimana) mereka. Kini tidak ada lagi sisa harta padaku kecuali seorang hamba ini, seekor unta ini dan sebatang sayur qatifah ini. Kalau nanti aku sudah meninggal dunia, wahai Aisyah, kirimkan semua ini kepada Umar sebagai pembayar hutangku.”

Saiyidina Umar yang diangkat sebagai khalifah baru menangis tersedu-sedu menerima pemberian Saiyidatina Aisyah itu lantas berkata : “Semoga Allah merahmati Abu Bakar. Seseungguhnya dia telah membuatkan penggantinya menjadi letih.”

Abdul Rahman bin Auf r.a. yang melihat betapa sedihnya Saiyidina Umar telah mengusulkan agar semua itu dikembalikan kepada keluarga Saiyidina Abu Bakar. Saiyidina Umar menjawab dengan tegas : “Tidak! Demi Allah yang telah mengutus Muhammad, ini tidak boleh terjadi dalam pemerintahanku. Abu Bakar tidak pernah menyeleweng dari Allah, dan aku akan mengikut jejaknya.”

Maka gaji Saiyidina Abu Bakar selama 14 bulan itu pun dikembalikan kepada kerajaan Islam.

Seperti Saiyidina Abu Bakar, selama berbulan-bulan Saiyidina Umar tidak dibayar gaji walaupun dia memegang jawatan tertinggi dalam dunia. Mesyuarat pun dibuat. Kata Saiyidina Umar : “Seluruh waktuku telah kugunakan untuk urusan kaum Muslimin. Apakah gerangan yang wajib bagiku dalam hal ini?”

Saiyidina Usman dan Said bin Zaid r.a. menjawab serentak : “Engkau mesti makan (*untuk dirimu) dan memberi makan(*kepada keluargamu).”

Oleh kerana Saiyidina Ali berdiam, Saiyidina Umar bertanyakan pendapatnya. Jawab Saiyidina Ali : “Ambillah sekadar cukup untuk makan siang dan malam. Harta rakyat ini hanya boleh engkau ambil sekadar cukup untuk makanan engkau dan keluarga engkau. Itu pun dengan cara yang maaruf.”

Saiyidina Umar bersetuju. Terdengar sahabat yang berbisik : “Apa pula yang halal bagi Amirul Mu;minin daripada harta Allah?”

Jawab Saidina Umar : “Aku akan menceritakan kepada kamu apa yang akan aku halalkan daripada harta Allah ini. Adalah halal bagiku dua potong (*helai) kain iaitu sepotong pada musim dingin dan sepotong pada musim panas, sekadar perbelanjaan aku menunaikan haji dan umrah, sekadar makanan sederhana untukku dan keluargaku, sebagaimana makanan seorang Quraish biasa.”

Setiap hari Umar mengambil 2 dirham untuk keperluan hidupnya. Untuk menunaikan ibadah haji, dia mengambil sebanyak 180 dirham. 




RUJUKAN :  A. Hasjmy. (1970). Di Mana Letaknya Negara Islam. Singapura : Penerbitan Pustaka Nasional. 

18 Dec 2012

Al-kisah Seekor Kijang Mengandung



Seekor kijang mengandung bakal melahirkan anak kijang. Ibu kijang tiba di sebuah tanah rumput tepi sungai di selatan… memikir bahawa itu satu kawasan selamat.

Perutnya mula sakit… tetiba langit mula mendung diikuti dengan petir… petir menyambar rumput kering di sebelah utara kijang –kebakaran hutan berlaku. Di tepi baratnya, ibu kijang terkejut melihat seorang pemburu sedang mengacukan senapangnya ke arahnya… Ibu kijang bergerak ke sebelah timur, terlihat pula seekor harimau yang kelaparan sedang bergerak ke arah beliau.

Utara – api membara
Timur – si harimau kelaparan sedang ingin menerpa
Barat – si pemburu dengan senapang
Selatan – sungai yang deras…
Langit – mendung berpetir bakal hujan

Apakah yang bakal ibu kajang lakukan tatkala perutnya dah mula sakit untuk kelahiran…?

Bolehkah ibu kijang dan anaknya selamat?
Apakah kedua-duanya bakal mati?
Sempatkah anak kijang dilahirkan?
Apakah kedua-duanya akan mati dibakar?
Ibu kijang mati di tangan siapa? Pemburu atau harimau?
Apakah ibu kijang sanggup lompat sungai dan lemas?

…………………….
…………………….
…………………….
…………………….

Ibu kijang tidak melakukan apa-apa. Ibu kijang hanya fokus pada tugas memberikan nyawa baru kepada anaknya.

Semua perkara yang difikirkan di minda anda tidak terjadi.

Dalam sekelip mata…. Petir menyambar dan membutakan mata pemburu tatkala beliau menekan senapang beliau. Senapang itu tersasar melepasi ibu kijang… dan terkena pada si harimau yang luka parah. Hujan mula turun, api hutan dipadamkan. Saat kemudiannya, anak kijang lahir di dunia.

Cerita ini adalah untuk kita melihat bagaimana minda boleh memerangkap seseorang dari segala penjuru secara negatif. Tanggapan minda begitu kuat sehingga menyakinkan kita bahawa kijang akan mati dan kita pula mati akal.

Jangan buat keputusan dengan terburu-buru. Fikirkan kita sebagai ibu kijang, yang dipenuhi pelbagai cabaran, tapi tetap mencapai kegembiraan di akhirnya.

Segalanya boleh berlaku dalam hidup ini sekiranya iman kita kekal utuh kepada Allah dan percaya bahawa Allah akan menjaga kita. Dan fokus pada tugas di tangan (melahirkan anak kijang) dan buat dengan sebaiknya, Allah akan bantu mereka yang berusaha dan tidak berputus asa. Insha-Allah.

Senyum.





17 Dec 2012

Kenapa Hasan Al-Banna Dibunuh?


Pada 14 Mei 1948 David Ben-Gurion telah mengisytiharkan wujudnya Negara Israel yang merdeka lalu diiktiraf oleh Soviet Union dan
Amerika Syarikat.

IKhwan Muslimin telah mengadakan mesyuarat dan mereka telah mendesak Mesir dan negara-negara Arab lain supaya mengisytihar jihad terhadap Israel serta menggunakan apa sahaja cara yang mungkin untuk menyelamatkan Palestin daripada kehancuran. Ekoran dari itu berlaku Perang Arab-Israel1948.
Ikhwan Muslimin telah menghantar 10,000 mujahidin, kemudian diikuti beberapa Negara Arab yang lain antaranya Mesir, Syria, Iraq, Jordan,Lubnan dan beberapa Negara arab lagi sehingga jumlah mereka seramai 47500 orang.

Mujahidin yang dihantar Ikhwan Muslimin berjuang di barisan hadapan dengan semangat jihad yang kental yang ditanam oleh Imam Hasan Al Banna. Mereka berjuang dengan gagah berani sehingga setiap kali pertempuran mereka beroleh kemenangan. Mereka terus mara sehingga sampai ke pinggir Tel Aviv.

British, Amerika Syarikat dan sekutunya yang menyokong Israel berasa bimbang jika Negara haram yahudi itu dikalahkan tentera Arab. Mereka mendesak kedutaan masing-masing yang berada di Mesir mendesak Perdana Menteri Mesir Nuqrasyi Pasya bertindak ke atas Ikhwan Muslimin. Mereka mendakwa kononnya pertubuhan itu sedang merancang hendak merampas kuasa.

Perdana Menteri Mesir memanggil pulang tentera Mesir dan mujahidin Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestin. Kepulangan mereka bukan disambut sebagai pahlawan tetapi mereka ditangkap, dipenjarakan malah ramai yang dibunuh.

Pada 10 Jun 1948 diadakan gencatan senjata. Tetapi itu hanya helah Israel untuk memusnahkan tentera Arab. Apabila tentera Mesir dan Mujahidin Ikhwan Muslimin pulang maka tentera Arab yang lain berasa lemah semangat untuk berperang.

Gencatan senjata itu hanya helah Israel dan sekutunya. Semasa gencatan senjata Israel menerima senjata dari Amerika, Britain dan sekutunya. Kemudian Israel menyerang semula lalu mengalahkan pasukan Arab.

Hasan Al Banna dibunuh kerana menghantar 10 ribu pejuang ke Palestin dan berjaya menyatukan Negara Arab supaya menentang Israel. Mereka tidak mahu wujud tokoh yang mengikut jejak Salahuddin Al Ayubi yang berjaya menyatukan Negara Arab sebelum menakluk Jerusalem.




sumber: facebook