4 Aug 2012

Kerja Adalah Sebuah Kehormatan

Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah kedai makan, memesan makanan. Tidak beberapa lama kemudian, pesanannya datang. Saat pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang anak kecil lelaki menjajakan kuih padanya,

"Bang, mahu beli kuih, bang?"

Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab

"Tidak, saya sedang makan".

Anak kecil tersebut tidak putus asa dengan cubaan pertama. Dia menunggu sampai pemuda itu selesai makan, lalu dia tawarkan lagi kuih jualannya,

"Bang, mahu beli kuih, bang?"

Pemuda tersebut menjawab, "Tidak dik, saya sudah kenyang."

Lalu, pemuda itu membayar di kaunter dan beranjak pergi dari kedai makan tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu mengikuti. Sudah hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Dia tidak menyerah pada usahanya.

Anak kecil itu berfikir, "Cuba aku tawarkan kuih ini lagi pada pemuda itu. Siapa tahu kuih ini boleh dijadikan ole-ole buat orang di rumahnya."

Apa yang dilakukan oleh anak kecil itu adalah usaha gigih membantu ibunya menyambung kehidupan yang serba sederhana.

Ketika pemuda itu keluar kedai makan, anak kecil penjaja kuih itu menawarkan kuih jualannya untuk yang ketiga kalinya,

"Bang mahu beli kuih saya?".

Kali ini pemuda itu merasa tersinggung untuk menolak. Kemudian, dia mengeluarkan wang sebanyak RM10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil itu sebagai sedekah.

Katanya, "Dik, ambil wang ini. Saya tidak beli kuih adik. Anggap saja ini sedekah dari saya buat adik."

Budak kecil itu menerima wang pemberian pemuda itu lalu memberikannya kepada seorang pengemis yang sedang meminta-minta. Betapa terkejutnya pemuda itu.

"Kenapa dengan budak ini? Diberi wang tak mahu malah diberikan pada orang lain?" Katanya, "Kenapa kamu berikan wang itu pada pengemis ? Mengapa tidak kau ambil saja?"

Anak kecil penjaja kuih tersenyum lucu menjawab, "Saya sudah berjanji pada ibu di rumah untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan jadi pengemis. Dan saya akan bangga pulang ke rumah bertemu ibu kalau kuih buatan ibu terjual habis. Wang yang saya berikan kepada ibu hasil usaha kerja keras saya. Ibu saya tidak suka saya menjadi pengemis".

Pemuda itu kagum dengan kata-kata yang diucapkan anak kecil penjaja kuih yang masih sangat kecil buat ukuran seorang anak yang sudah punya etika kerja bahawa "kerja adalah sebuah kehormatan". Kehormatan anak kecil itu akan berkurang di hadapan ibunya, bila dia tidak bekerja keras dan berhasil menjajakan kuih. Dan, adalah pantangan bagi sang ibu bila anaknya menjadi pengemis. Dia ingin setiap kali pulang ke rumah dia melihat ibunya tersenyum menyambut kepulangannya dan senyuman bonda yang tulus dia balas dengan kerja yang terbaik dan menghasilkan wang.

Akhir cerita, pemuda tadi memborong semua kuih yang dijajakan anak kecil itu. Bukan kerana kasihan, bukan kerana lapar tapi kerana prinsip yang dimiliki anak kecil itu "kerja adalah sebuah kehormatan". Dia akan mendapatkan wang kalau dia sudah bekerja dengan baik.



MORAL

Semoga cerita di atas bisa menyedarkan kita tentang erti pentingnya kerja. Bukan sekadar untuk wang semata. Jangan sampai mata kita menjadi "hijau" kerana wang sehingga melupakan apa erti pentingnya kebanggaan kerjaya yang kita miliki. Sekecil apapun kerjaya itu, kalau kita kerjakan dengan bersungguh-sungguh, pastinya akan membawa pulangan yang besar.




sumber : facebook

1 comment:

gigiAriEma said...

Baik kn bdak tuh, kita ja yg xtawu lg ape erti kerja sebenar. Hoho