29 Aug 2012

Hukum Memakai Inai Bercorak

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.



28 Aug 2012

Sunnah Selepas Ijab Kabul (Ustaz Don)

Sunnah Rasulullah s.a.w. bagi pasangan yang baru berkahwin. Suami meletakkan tangan di ubun kepala isteri, dan berdoa :

" Ya ALLAH, aku memohon kepada-Mu kebaikannya, dan kebaikan segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan yang Engkau ciptakan pada dirinya" (Riwayat Abu Daud no.1260)



Sunnah selepas Ijab Qabul : Melakukan solat sunat 2 rakaat berjemaah suami dan isteri.

Cara untuk mengerjakannya ialah:

• Lafaz niatnya : “Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala”Allahu Akbar”: Sahaja aku solat sunat sesuda
h nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala”

• Rakaat pertama : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Kafiruun’

• Rakaat kedua : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhlas

• Membaca doa berikut selepas salam:

“YA Allah, Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagi-Mu, seru sekalian alam. Ya Allah, aku bersykur kepada-Mu, telah selesai pernikahanku ini, kami memohon pada-Mu Ya Allah Engkau berkatilah pernikahan –ku ini. Engkau jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, pada-Mulah kami memohon pertolongan. Engkau anugerahkanlah padaku isteri/suami yang soleh, Engkau berikanlah akan daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami. Engkau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai. Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa. Engkau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai dan soleh. Engkau anugerahkanlah kami kesihatan dan kesejahteraan pada isteri/suami dan anak cucu kami sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Engkau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagiaan rumah tangga kami”

“Ya Allah ,Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang suci dan baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Engkau jadikanlah aku, isteriku/suamiku dan anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa. Engkau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya aku, isteri/suami dan anak-anak ku menyimpag ke jalan yang tidak Kau redhai. Engkau anugerahkanlah padaku, isteri/suami dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Engkau peliharalah kami, isteri/suami, anak-anak dan cucu-cucu kami dari sebarang mara bahaya,fitnah,dan malapetaka yang tidak diingini samaada yang lahir mahupun yang batin”

“Ya Allah,Engkau berkatilah umur kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Engkau peliharalah kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibubapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu”

“Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah,(3 kali),

Engkau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah (3 kali)”

Amin ya rabbal a'lamin...



sumber : fb Ustaz Don

15 Aug 2012

Hari-Hari Terakhir Memburu Lailatul Qadar


1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu kebinatangan.

2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar dalam kehidupan haiwan di hutan.

3) Sebelum kurniaan akal, binaan manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit, hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian dan memburu kemuliaan.

4) Dengan roh, manusia membina dan membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah. Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan rohani menuju tuhan amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang hebat.

5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan roh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.

6) Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya, gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini begitu sukar dibendung kecuali roh memiliki kekuatan dan bukaan baru yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya daripada pengaruh dan kekangan nafsu.

Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?

7) Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik? Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat manusia mencari-cari dan kelemasan.

8) Ada malaikat yang sentiasa berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi yang sering diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan keterujaan.

9) Dia berfirman saat Adam diturunkan ke bumi; “Maka jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – (al Baqarah: 38) Itu janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti ketewasan dan penyesalan.

10) Kemuliaan manusia adalah pada pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehnya. Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan hikmat, manakala al-Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al-Quran adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al-Quran dan al-hikmah.

11) Difardhukan ibadah solat lima waktu sebagai pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada kerahmatan dan ketinggian.

12) Janganlah lupa ibadah puasa! Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan asakan nafsu dan pengembalian roh ke medan penguasaan terhadap diri setiap mukmin.

13) Al-Quran turun di bulan Ramadan membantu roh dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al-Quran yan penuh hidayat dan hikmat. Justeru, penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak bagi hamba-Nya yang beriman.

Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurga-Nya. Aamin.



sumber : Harakah Daily

6 Aug 2012

Kebaikan Menjilat Jari Selepas Makan

Sudah menjadi amalan untuk setiap bagi kita menggunakan tangan sebagai anggota utama untuk menyuap makanan ketika menjamah setiap jenis makanan. Malah, sudah selari dengan pandangan dan pemahaman budaya bagi setiap masyarakat di Malaysia, golongan Melayu lebih cenderung menggunakan tangan untuk makan berbanding menggunakan sudu dan garfu.

Namun, pasti antara kita sebenarnya tidak mengetahui tentang kelebihan dan kebaikan yang sebenar menggunakan jari ketika makan. Di dalam agama Islam, Allah S.W.T telah memilih Rasulullah S.A.W untuk dijadikan model dan peranan kepada seluruh umatnya bagi mengikut segala amalan dan kebaikan yang dibawa oleh Rasul terakhir itu. Antara perbuatan Rasulullah S.A.W yang menjadi sunah dan perlu diikuti tentang aspek etika diet dan tatacara pemakanan sihat Rasulullah ialah makan menggunakan jari dan menjilat jari setelah selesai makan.

Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Apabila seseorang dari kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu di bahagian jari manakah keberkatan itu berada.” – Shahih Muslim; 2035.

Daripada Kaab bin Malik Radiallahhuanhu berkata,
“Aku telah melihat Rasullullah S.A.W sedang makan dengan tiga jari, maka apabila selesai, Rasullullah menjilat jarinya.”

Mengikut sunah Rasulullah, baginda sering makan menggunakan tiga jari dan pasti akan menjilat jarinya selepas selesai menjamah makanan kerana pada hakikatnya, setiap jari itu mengandungi enzim dan asid yang membantu menghadam makanan.

Malah, kenyataan itu juga turut diperakui oleh pengkaji saintifik yang mengesahkan jari-jari kita mempunyai asid dan enzim juga sejenis cecair yang memudahkan proses pembuangan dan dapat menyembuhkan penyakit sembelit.

Amalan itu sudah lama diamalkan oleh Rasulullah dan masih lagi digalakkan kepada umatnya walaupun sudah hampir lebih dari 1,400 tahun amalan sunat itu dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita meskipun ramai di antara kita memandang enteng perkara seperti ini.

Asid dan bahan kimia yang terdapat di jari kita sememangnya mempunyai fungsinya sendiri. Sebagai contoh, ibu bapa kita tidak menggalakkan kita mengambil makanan dengan menggunakan tangan atau jari. Sebaliknya, kita harus menggunakan sudu kerana makanan akan cepat basi akibat tindak balas asid dan enzim di jari kita.

Begitu jugalah proses pencernaan akan berlaku dalam perut kita sekiranya kita mengamalkan sunah yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.

Islam itu adalah agama yang terlalu mudah untuk diamalkan oleh umatnya dan setiap perkara yang dibawa dan diajar oleh Rasulullah S.A.W itu mempunyai maksud dan manfaat yang tersirat yang terkadang itu tidak terjangkau oleh pemikiran manusia lain.

Marilah kita sama-sama amalkan didikan dan sunah terbaik ini sebagai cara hidup yang terbaik dalam tingkah laku seharian baik di dalam perilaku kita atau pun hal berkaitan dengan pemakanan.


4 Aug 2012

Kerja Adalah Sebuah Kehormatan

Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah kedai makan, memesan makanan. Tidak beberapa lama kemudian, pesanannya datang. Saat pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang anak kecil lelaki menjajakan kuih padanya,

"Bang, mahu beli kuih, bang?"

Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab

"Tidak, saya sedang makan".

Anak kecil tersebut tidak putus asa dengan cubaan pertama. Dia menunggu sampai pemuda itu selesai makan, lalu dia tawarkan lagi kuih jualannya,

"Bang, mahu beli kuih, bang?"

Pemuda tersebut menjawab, "Tidak dik, saya sudah kenyang."

Lalu, pemuda itu membayar di kaunter dan beranjak pergi dari kedai makan tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu mengikuti. Sudah hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Dia tidak menyerah pada usahanya.

Anak kecil itu berfikir, "Cuba aku tawarkan kuih ini lagi pada pemuda itu. Siapa tahu kuih ini boleh dijadikan ole-ole buat orang di rumahnya."

Apa yang dilakukan oleh anak kecil itu adalah usaha gigih membantu ibunya menyambung kehidupan yang serba sederhana.

Ketika pemuda itu keluar kedai makan, anak kecil penjaja kuih itu menawarkan kuih jualannya untuk yang ketiga kalinya,

"Bang mahu beli kuih saya?".

Kali ini pemuda itu merasa tersinggung untuk menolak. Kemudian, dia mengeluarkan wang sebanyak RM10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil itu sebagai sedekah.

Katanya, "Dik, ambil wang ini. Saya tidak beli kuih adik. Anggap saja ini sedekah dari saya buat adik."

Budak kecil itu menerima wang pemberian pemuda itu lalu memberikannya kepada seorang pengemis yang sedang meminta-minta. Betapa terkejutnya pemuda itu.

"Kenapa dengan budak ini? Diberi wang tak mahu malah diberikan pada orang lain?" Katanya, "Kenapa kamu berikan wang itu pada pengemis ? Mengapa tidak kau ambil saja?"

Anak kecil penjaja kuih tersenyum lucu menjawab, "Saya sudah berjanji pada ibu di rumah untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan jadi pengemis. Dan saya akan bangga pulang ke rumah bertemu ibu kalau kuih buatan ibu terjual habis. Wang yang saya berikan kepada ibu hasil usaha kerja keras saya. Ibu saya tidak suka saya menjadi pengemis".

Pemuda itu kagum dengan kata-kata yang diucapkan anak kecil penjaja kuih yang masih sangat kecil buat ukuran seorang anak yang sudah punya etika kerja bahawa "kerja adalah sebuah kehormatan". Kehormatan anak kecil itu akan berkurang di hadapan ibunya, bila dia tidak bekerja keras dan berhasil menjajakan kuih. Dan, adalah pantangan bagi sang ibu bila anaknya menjadi pengemis. Dia ingin setiap kali pulang ke rumah dia melihat ibunya tersenyum menyambut kepulangannya dan senyuman bonda yang tulus dia balas dengan kerja yang terbaik dan menghasilkan wang.

Akhir cerita, pemuda tadi memborong semua kuih yang dijajakan anak kecil itu. Bukan kerana kasihan, bukan kerana lapar tapi kerana prinsip yang dimiliki anak kecil itu "kerja adalah sebuah kehormatan". Dia akan mendapatkan wang kalau dia sudah bekerja dengan baik.



MORAL

Semoga cerita di atas bisa menyedarkan kita tentang erti pentingnya kerja. Bukan sekadar untuk wang semata. Jangan sampai mata kita menjadi "hijau" kerana wang sehingga melupakan apa erti pentingnya kebanggaan kerjaya yang kita miliki. Sekecil apapun kerjaya itu, kalau kita kerjakan dengan bersungguh-sungguh, pastinya akan membawa pulangan yang besar.




sumber : facebook