24 Jun 2012

Hadis Mengisahkan Taubat Pembunuh 100 Jiwa Manusia



"Dari Abu Sa`id Sa`d bin Malik bin Sinan al-Khudri radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda :

“Pada zaman dahulu ada seseorang yang telah membunuh 99 orang. Kemudian dia mencari-cari orang yang paling `alim di negeri itu maka dia pun ditunjukkan kepada seorang pendeta. Dia pun lantas datang kepada si pendeta dan menceritakan bahawa dia telah membunuh 99 orang, maka adakah masih boleh diterima taubat. Lalu pendeta itu mengatakan bahawa taubatnya tidak akan diterima. Lantas orang itu membunuh si pendeta tadi maka genaplah sudah orang yang dibunuhnya sebanyak 100 orang.

Dia mencari-cari lagi orang yang paling `alim di negeri itu maka dia ditunjukkan kepada seseorang yang sangat `alim. Kemudian dia menceritakan bahawa dia membunuh 100 orang, maka adakah masih boleh diterima taubatnya. Orang yang sangat `alim itu menjawab, “Ya, masih boleh. Siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah sana itu sama menyembah kepada ALLAH Ta`ala, maka sembahlah ALLAH bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi kekampung halamanmu kerana perkampunganmu adalah daerah hitam.”

Maka pergilah orang itu. Setelah menempuh jarak kira-kira setengah perjalanan maka matilah dia. Kemudian bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat berkata, “Dia telah berangkat untuk benar-benar bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada ALLAH Ta`ala.” Malaikat Azab pula berkata, “Sesungguhnya dia belum berbuat kebaikan sedikit pun.”

Lantas datanglah seorang Malaikat dalam bentuk manusia, maka kedua-dua Malaikat itu menjadikannya sebagai hakim. Maka berkatalah Malaikat yang dalam bentuk manusia itu, “Ukurlah olehmu dua daerah itu. Maka kepada daerah yang lebih dekat itulah ketentuan nasibnya.”

Mereka mengukurnya kemudian mereka mendapati daerah yang dituju itulah yang lebih dekat. Maka orang itu diambil nyawanya oleh Malaikat Rahmat.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Pada riwayat lain di dalam kitab As-Sahih dikatakan :

“Dia lebih dekat sejengkal untuk menuju daerah yang baik itu maka dia dimasukkan ke dalam kelompok mereka.”

Pada riwayat lain juga di dalam kitab As-Sahih dikatakan:

“Kemudian ALLAH Ta`ala memerintahkan kepada daerah hitam itu supaya menjauh dan memerintahkan kepada daerah yang baik itu supaya mendekat dan menyuruh supaya para Malaikat itu mengukurnya. Kemudian mereka mendapati daerah yang baik itu sejengkal lebih dekat. Maka dia pun diampuni.”

Pada riwayat yang lain disebutkan :

“ALLAH mencederungkan hatinya untuk menuju ke daerah yang baik itu.”

Hadith di atas telah disalin dari kitab Riyadhus Solihin karangan Imam an-Nawawi yang mana beliau telah memasukkan hadith di atas di dalam bab tentang Taubat.

Antara pengajaran yang boleh diambil dari hadith di atas ialah :


1. Jangan lekas marah kerana lekas marah akan menatijahkan banyak perkara yang boleh membawa penyesalan.

2. Apabila timbul keinsafan, segeralah mencari jawapan dan sokongan.

3. Bertanyalah kepada orang yang betul-betul `alim. Dan mintalah pendapat dari beberapa orang `alim untuk mengesahkan jawapan.

4. Orang `alim dan orang `abid mempunyai perbezaan. Pendeta/rahib mungkin seorang yang rajin beribadah tetapi mereka mungkin tidak `alim dan tidak mampu memberikan jawapan yang tepat.

5. Berusahalah menjadi orang `alim, tidak sekadar menjadi `abid.

6. Berilah harapan dan sokongan kepada ahli masyarakat yang mahu bertaubat. Jangan menutup jalan kepada mereka untuk bertaubat.

7. Antara cara yang berkesan untuk seseorang berubah menjadi baik ialah dengan cara berhijrah dan memilih persekitaran yang baru dan baik. Kerana persekitaran yang lama mungkin boleh membantut usaha untuk berubah disebabkan faktor-faktor seperti persepsi masyarakat, pengaruh dan sebagainya.

8. Walau telah membunuh 100 orang pintu taubat sentiasa terbuka. Hatta jika dosa penuh satu dunia pun ALLAH sudi memberikan pengampunan. Ini kan pula kita yang mungkin tidak pernah melakukan dosa-dosa besar. Lagilah besar peluang untuk kita bertaubat. Baik sangkalah dengan ALLAH.

9. Taubat sentiasa terbuka luas dan harapan sentiasa ada untuk berubah menjadi baik.

ALLAH Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Malah ALLAH sangat suka memberikan pengampunan dan menerima taubat hambaNYA.Semoga kisah di atas memberikan dorongan dan contoh buat kita semua bahawa taubat itu sentiasa terbuka luas selagi nyawa belum ditarik oleh ALLAH `Azza wa Jalla. Kongsilah kisah sahih ini dengan semua supaya lebih ramai faham bahawa agama ini ada banyak berita yang menggembirakan dan memberikan harapan.

Sekadar berkongsi,


No comments: