18 May 2012

Kediktatoran Penguasa, Kelemahan Ulama dan Kebodohan Umat

“Kediktatoran penguasa, kelemahan ulama, dan kebodohan umat”. Fir’aun pernah berkata kepada kaumnya: “Sayalah Tuhan kamu sekalian yang maha tinggi”.

Perkataan ini hanya dikatakan dengan tipu daya ketika rakyat sedang lengah, sedang kalah dan sedang tertipu.

Para penindas tidak pernah menipu setaraf dengan tipuan yang dilakukan pada waktu rakyat sedang dalam keadaan lalai, atau dalam keadaan lengah dan kalah. Penindas hanyalah seorang manusia yang pada dasarnya tidak mempunyai kekuatan atau kekuasaan.

Oleh sebab rakyat sedang lalai dan lemah sehingga membenarkan punggungnya dinaiki dan lehernya dihela, kepalanya ditundukkan kepada para penidas, mereka mengorbankan hak-hak, kehormatan dan harga dirinya, maka itulah sebabnya mereka ditindas. Rakyat melakukan ini kerana tertipu dari satu segi, dan kerana takut dari segi lain. Ketakutan itu adalah sebenarnya sangkaan sahaja.

Sebagai individu penindas tidak akan lebih kuat daripada ribuan dan jutaan manusia, kalau mereka menyedari erti kemanusiaan, harga diri, kehormatan, dan kebebasan dirinya. Setiap orang atau individu daripada umat, kekuatannya setanding dengan seorang penindas. Akan tetapi, seorang penindas mempunyai cara menipu dan mengaburi rakyat bahawa dia mempunyai sesuatu yang boleh memudaratkan atau memberi manfaat.

Tidak ada seorang pun mampu menindas sekolompok manusia yang mulia dengan selama-lamanya. Tidak ada sekelompok individu atau perseorangan yang dapat menindas suatu umat yang tahu dan beriman kepada Tuhannya, iaitu umat yang menolak untuk melakukan penyembahan kepada ciptaan Tuhan yang tidak memberi manfaat dan tidak memberi mudarat.

Walau bagaimanapun, para penindas menganggap merendahkan kaumnya dengan cara yang kejam sehingga mereka mentaatinya kerana kefasikan dan terkeluar dari kesungguhan. Pertamanya, para penindas akan mengasingkan rakyat dari setiap jalan menuju kepada ilmu pengetahuan.

Mereka akan menutup segala kebenaran sehingga rakyat melupakannya dan tidak akan mencarinya kembali. Mereka juga akan memasukkan pengaruh-pengaruh dengan sekehendak hati ke dalam benak rakyat sehingga jiwa rakyat tercetak dengan pengaruh-pengaruh yang mereka ciptakan. Dari sini, para penindas dengan mudah dapat merendahkan rakyat dengan menggiring di belakangnya. Rakyat pun mudah digiring oleh para penindas ke kanan dan ke kiri.

Para penindas tidak akan mampu untuk memperlakukan rakyat seperti ini, kecuali jika mereka orang-orang yang fasik, tidak lurus pada suatu jalan, tidak berpegang pada jalan Allah S.W.T., tidak menimbang dengan timbangan iman, dan tidak merujuk kepada al-Qur’an dan bukti-bukti. Bagi orang-orang mukmin yang bertakwa, mereka sukar untuk ditipu daya, direndahkan dan dipermainkan seperti bulu yang dihembus angin.

Dalam Surah al-Zukhruf: 54, al-Qur’an memberi alasan mengapa rakyat mentaati Fir’aun:“Maka Fir’aun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.”

Seandainya para ulama umat ini [yang saya maksud bukan hanya ahli fiqh saja, tetapi seluruh ilmuwan daripada pelbagai latar belakang, terutamanya ulama agama] dan mereka menentang kefasikan dengan berbagai-bagai jenisnya dalam pemikiran, keyakinan, peri laku, pergaulan, dan bekerja, apakah mungkin semua ini terjadi? Adakah manusia akan menjadi fasik dan adakah para penindas dapat mengatasinya?

Sudah tentu tidak. Kalau para ulama tidak memberi pemahaman kepada umat, sesungguhnya penindas yang diktator dan berasa dirinya seakan-akan Tuhan akan senantiasa mengajak manusia menuruti setiap sikap, perkataan dan perbuatannya untuk menjadikannya sekutu Allah.

Sesungguhnya berdiam diri daripada penindas, rela dengan kezaliman, mengelak daripada musyawarah adalah syirik dan bertentangan dengan tauhid. Dan sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menerima seorang diktator dan tidak rela dengan kezaliman, sama ada ia benar-benar diktator ataupun masih melakukan keadilan,walaupun dia sembahyang dan berpuasa serta mengaku dirinya sebagai seorang Muslim.

Kalau para ulama memahami semua ini, adakah umat akan berdiam diri menghadapi kezaliman? Dan adakah seorang diktator mampu merendahkan dan memaksakan berbagai-bagai urusannya? Mudah-mudahan para ulama, pemikir, khatib, penulis, dan para dā’i selalu mengajar umat tentang hak-hak dan kewajipannya.

Semoga mereka sentiasa mengajar pintu-pintu kebaikan dan kejahatan, di samping mengajar perincian-perincian bersuci serta gerakan-gerakan dalam salat kepada mereka dengan rajin.

Dengan demikian keadaan umat akan berubah dan kesedarannya akan meningkat. Mudah-mudahan mereka mengajar bahawa mengagungkan, mendukung, dan berkhidmat kepada orang yang tidak membesarkan syiar-syiar Allah adalah suatu kezaliman. Kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Kezaliman adalah keluar daripada takwa, dan barang siapa yang keluar daripada takwa akan berada dalam kefasikan, syirik kepada Allah, dan syirik adalah dosa yang besar. Mudah-mudahan mereka mengajar umat bahawa para pemimpin mereka adalah pegawai, pembantu dan buruh umat.

Jika mereka tidak bekerja dengan baik, maka rakyat harus mengganti mereka dengan yang lain. Mudah-mudahan mereka mengajar rakyat bahawa memimpin adalah satu bebanan, bukan suatu kehormatan. Politik adalah untuk melindungi urusan seluruh rakyat dan berkhidmat kepada rakyat. Melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar adalah fardu ain dan tanggungjawab seluruh umat, tidak seorang pun boleh meninggalkannya atau berhak untuk tidak melaksanakannya. Merampas kekayaan umat adalah suatu kejahatan, begitu juga dengan mengistimewakan kebaikan-kebaikan musuh umat.

Menahan manusia tanpa suatu kesalahan adalah kejahatan, begitu juga dengan melarang manusia untuk mengeluarkan pendapat tentang urusan umum umat. Pelanggaran yang dilakukan oleh pemerintah tentang kebebasan dan kehormatan warga negara adalah kejahatan."



sumber : tranungkite

No comments: