20 May 2012

Jangan Biarkan Tangki Kasih Sayang Bocor

Ramai ibu bapa hari sering mengeluh, mengapa anak-anak mereka tidak mahu mendengar kata-kata mereka. Kadang-kadang belum sempat ibu bapa memberikan nasihat anak-anak terlebih dahulu sudah menunjukkan memek muka bahawa mereka enggan mendengar apa yang diperkatakan.

Wahai ibu bapa, satu yang perlu difahami mulai sekarang, bahawa sebenarnya anak kita ibarat sedang menatang sebuah tangki kasih sayang. Tahukah ibu bapa bahawa anak-anak sangat mengharapkan tangki kasih sayang mereka dipenuhi? Tidak susah sebenarnya untuk membuat anak-anak menghargai setiap nasihat dan mendengar kata-kata kita. Tetapi syaratnya kita perlu memberikan mereka balasan dengan mengisi tangki kasih sayang mereka. Apabila anak-anak kita sudah tidak mahu mengambil kisah tentang apa jua nasihat yang kita sampaikan, apa yang perlu kita lakukan ialah kita periksa terlebih dahulu tangki kasih sayang anak kita kerana berkemungkinan tangki kasih sayang mereka telah bocor.



Periksalah Tangki Kasih Sayang Anak-Anak

Dan apabila berlaku kebocoran maka tidak guna untuk kita memberikan nasihat kepada mereka. Mengisi tangki kasih sayang tidak memerlukan modal yang besar seperti mana kita memerlukan wang ringgit dengan nilai tertentu untuk memenuhkan tangki petrol kita. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah merenung kembali mungkin sepanjang kehidupan kita, jarang kita memberikan ruang masa untuk mereka merasa dikasihi.

Cuba renung kembali, mungkin kita pernah berjanji sesuatu dengan mereka tetapi masih belum kita tunaikan, mungkin juga ada sesuatu yang anak-anak kita ceritakan tentang perihal mereka di sekolah tetapi kita hanya diamkan sahaja, mungkin juga anak kita mendapat kejayaan-kejayaan tertentu, tetapi kita belum menghargai mereka. Mereka sebenarnya amat sensitif terhadap perkara-perkara sebegini. Seandainya kita sudah mengenal pasti penyebab mengapa tangki kasih sayang mereka bocor, maka ibu bapa perlu segera untuk mengisi kembali ruang yang bocor itu dengan kasih sayang kepada mereka.

Jika kita melihat keluarga yang bahagia, bagaimana mereka dapat membuatkan anak-anak mereka begitu taat dan mudah mendengar kata-kata mereka? Tiada rahsia yang besar sebenarnya. Tetapi mereka memahami konsep tangki kasih sayang ini yang membuatkan mereka tidak akan membiarkan berlaku kebocoran dari rasa kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Apabila kasih sayang
ibu bapa dapat dirasai anak-anak, insya Allah anak-anak akan mula memandang ibu bapa sebagai idola dalam kehidupan mereka.


sumber : facebook

No comments: