31 Jan 2012

Sebab Sukar Mendapat Zuriat

Sebagai manusia yg dianugerahkan hawa nafsu dan keinginan, kita akan secara semulajadi inginkan sebuah kehidupan yg harmoni didalam sebuah negara yg aman makmur, dengan rezeki yg berlimpah ruah dan kesihatan yg baik. Untuk memenuhi keperluan hidup, kita pula secara otomatis bila cukup umur inginkan pasangan hidup, dan setelah adanya pasangan hidup tersebut, kita pun inginkan zuriat untuk meneruskan susurgalur keturunan kita .

Selain mendapat keturunan secara sah melalui proses perkahwinan mengikut adat atau budaya dan ajaran agama masing masing, ada juga zuriat yg muncul tanpa apa apa ikatan dari sebuah perkahwinan tersebut seperti sumbang mahram, ketelanjuran dalam pergaulan, paksaan(rogol) dan sebagainya. Perhubungan jenis yg tidak ada ikatan sah ini, tetapi tidak menghasilkan zuriat amat disyukuri oleh mereka, tetapi jika dah ada ikatan sah kekeluargaan, ketidak berhasilnya zuriat yg diinginkan adalah merupakan bebanan dan menjadi satu permasaalahan yg perlu diatasi mereka yg menghadapinya.

• Anak atau anak-anak merupakan suatu anugerah Illahi yang tidak ternilai kepada manusia. Keriangan dan tangisan anak-anak merupakan hiburan yang tidak ternilai bagi ibubapa penyayang.

• Tetapi berlainan sekali dengan pasangan yang lambat mendapat cahaya mata. Mereka menjadi gelisah menanti hari-hari dimana mereka dikurniakan anak.

• Merawat pasangan-pasangan yang menghadapi masalah ketidaksuburan adalah satu ibadah. Apabila mereka berjaya mendapatkan zuriat, kita bersama-sama kongsi kemeriahan dan kegembiraan dengan mereka. Bagi mereka kelahiran seorang cahayamata tidak boleh dinilai dari segi wang ringgit. Memang benar mereka perlu untuk membelanjakan banyak wang serta mengorbankan masa dan tenaga khususnya bagi mereka yang perlu menjalani berbagai-bagai kaedah rawatan yang canggih dengan menggunakan teknologi kesuburan seperti bayi tabung uji ataupun menjalani pembedahan untuk memperbaiki peranakan mereka.



Mengapa zuriat yg dinginkan tak muncul tiba?

Jika sesaorang perempuan belum hamil dalam usia perkahwinan diperingkat awal (sebelum setengah tahun) bukanlah bermakna mereka mempunyai masalah kesuburan. Peluang sesuatu wanita untuk hamil dalam mana-mana bulan hanyalah 15 hingga 20 peratus saja, bukannya 100 peratus. Ini bermakna, setiap bulan, hanya 15 hingga 20 daripada 100 pasangan saja yang berjaya hamil.

Setelah enam bulan mencuba, 75 daripada 100 pasangan didapati berjaya hamil, manakala selebihnya masih belum hamil. Namun setelah setahun mencuba, keseluruhannya meningkat kepada 85 hingga 93 pasangan yang berjaya hamil dan hanya tujuh hingga 15 pasangan saja yang masih gagal hamil.

Bagi pasangan yang belum hamil ini, peluang seterusnya untuk hamil sendirinya hanyalah sekitar empat peratus saja. Memandangkan peluang hamil masih tinggi pada setahun pertama mencuba, kebanyakan doktor lazimnya menasihatkan agar tidak tergesa-gesa mendapatkan rawatan kesuburan kerana ia sebenarnya mungkin tidak perlu untuk pasangan terbabit.

Ujian dan rawatan berkenaan bukan saja memerlukan perbelanjaan, malah masa untuk temu janji yang tidak tetap tetapi lebih bergantung kepada hari kitaran haid wanita.

Dalam keadaan tertentu misalnya sudah pun diketahui mempunyai penyakit berkaitan kesuburan seperti penyakit peradangan pelvis, endometriosis ataupun jika usia wanita mencecah 35 tahun ke atas, tidak perlu menunggu selama ini. Malah mereka digalakkan memulakan rawatan kesuburan setelah enam bulan mencuba.

Lazimnya, penyakit berkaitan kesuburan tidak menyebabkan masalah angin dan sakit ulu hati sebagai masalah utama.

Rawatam Alternatif untuk Mendapatkan Zuriat

Jika pasangan masih gagal mendapatkan zuriat menggunakan kaedah moden dan scientific, disini aku cuba huraikan pula sebab sebab dan kaedah rawatan secara alternatif.

Menurut kajian alam misteri, kegagalan sesebuah pasangan untuk mendapatkan zuriat kebanyakkannya berpunca dari faktor tubuh badan terutama dipihak isteri. Faktor kegagalan persenyawaan antara seperma dan ovum kebanyakkannya berpunca akibat ovum(telur) yg dihasilkan oleh sesaorang wanita yg kemudiannya berada disalur felopian akan rosak akibat adanya kesan dari kitaran darah haid yang tidak terbuang habis ketika proses haid mereka. Sisa darah haid yg kotor dan beracun ini akan memusnahkan ovum tersebut. Jika ovum tersebut dapat bertahan pun, seperma dari pihak suami pula akan rosak akibat racun itu.

Selain itu, adakalanya berpunca dari keadaan atau kedudukan sistem peranakan wanita itu iaitu terlalu kebawah dari kedudukan yang sepatutnya yang menyebabkan beberapa salur seperti salur felopian agak terlipat atau menjadi sempit sehingga menyebabkan seperma suami tidak dapat melaluinya untuk disenyawakan dengan ovum. Jika keadaan ini yang menyebabkan kegagalan persenyawaan benih tersebut, kaedah yang terbaik ialah membetuklan dan memulangkan sistem peranakan tersebut kepada kedudukan yang sepatutnya dengan kaedah urutan atau sengkak, kerana biasanya sistem peranakan itu jatuh kebawah akibat aktiviti lasak dsb.

Dalam keadaan darah haid yang tak keluar habis yang menyebabkan racun pembunuh benih berada didalam rahim wanita, Tentulah persenyawaan diantara ovum dan seperma tak mungkin berlaku iaitu ovum dan benih tersebut rosak atau terhapus. Dan zuriat yg ditunggu tidak mungkin hadir.

Selain itu, ada kemungkinan besar juga adanya peranan jin jin terutama jin saka yg menghalang proses persenyawaan tersebut. Jin jin ini akan memusnahkan seperma dari pihak suami atau kalau perawat biasa panggil benih(air mani suami) “dimakan” oleh jin jin yg duduk dan tinggal bermastautin dan beistana difaraj wanita itu.

Bagi rawatan alternatif ini, jika bukan disebabkan oleh jin jin iaitu kegagalan sistem tubuh wanita itu sendiri mengeluarkan semua darah haid yg biasanya menyebabkan senggugut atau penyakit keputihan, boleh diikhtiarkan dengan memperbanyakkan memakan pucuk pucuk muda (ulam ulaman-sebanyak banyaknya) bagi menuteralkan racun akibat tertinggalnya darah haid dirahim tersebut.

Selain pucuk muda, yang terbaik dan termujarab ialah dengan meminum air kelapa yang SANGAT muda iaitu kelapa yg hanya baru ada tempurung dan air sahaja tanpa ada isi sedikitpun walaupun yg belum berwarna-(jernih)… ingat, ini hanya untuk memastikan segala racun yg ujud akibat darah haid tertinggal itu nutral atau terhapus.

Selain itu faktor kegemukan atau kelemahan sistem peranakan itu sendiri dan kelemahan seperma suami boleh juga menghalang seperma dari berenang menghampiri ovum…. jika masaalah lemah ini, perbanyakkanlah berzikir dengan zikir Lahaulawalaquaataillabillahilaliyyilazim sekurangnya 7000 x setiap hari dan carilah tukang urut yang pakar…selain itu banyakkanlah memakan zat zat dan sumber makanan@nutrien@jamu yang boleh membantu meningkatkan kesuburan……

Bagi permasaalahan yg disebabkan oleh jin pula, perlulah berjumpa perawat yang mampu mengeluar semua sekali jin jin saka yg menetap difaraj dan seluruh tubuh, Jangan tinggalkan walau seekorpun jin tersebut. Mungkin perawat yang dijumpa mempunyai kaedah meraka sendiri, so tak perlu aku huraikan disini…

Ada juga jin jin yg hadir difaraj tersebut hasil dari persihiran, so kalau jin dari punca ini agak sukar dibenteras habis habisan kerana jumlahnya yg kadangkala terlalu banyak, silih berganti datangnya, dan biasanya kalau kes sihir yg menyebabkan menghalang zuriat ini, pihak suami juga perlu dirawat!

sumber : supervain.com

Rahsia Angka 40 Dalam Islam



Empat puluh bukan sekadar pada usia tetapi banyak yang dikaitkan dengan nombor itu disebut dalam al-Quran dan hadis. Apa rahsia nombor itu maka ia banyak disebut oleh Allah?

Bagi Dr. Faizal Ahmad Shah, nombor 40 ada signifikan di dalam Islam, banyak hadis yang menyebut tentang angka itu dan ia juga di sebut oleh al-Quran. Di dalam al-Quran juga ada banyak ayat yang menyebut tentang 40, yang mana ia tidak terhad pada usia saja tetapi meliputi soal hukuman, ganjaran, tempoh masa dan perkara yang lain.

Misalnya di dalam surah al-Baqarah ayat 51, “Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya orang orang zalim (terhadap diri sendiri)”.

Pada surah yang lain pula, ada disebutkan tentang 40 yang bermaksud, Allah berfirman, “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya selama empat puluh tahun, mereka akan merayau rayau dengan binggungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai): maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu.” – Surah al-Maidah ayat 26.

DI dalam ayat itu Allah perintahkan kepada bani Israil untuk memasuki Palestin tetapi mereka menolaknnya. Maka keingkaran itu, Allah membalasnya dengan sesat di padang pasir selama 40 tahun.

Kemudian ada beberapa ayat lain juga menyebut tentang 40 iaitu di dalam surah al-A’raaf ayat 142 bermaksud, “Dan Kami telah janjikan kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): gantikanlah aku (dalam urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang orang yag melakukan kerosakan.”

Angka 40 di dalam al-Quran menceritakan tempoh masa, hukuman kepada Bani Israel dan tempoh masa Allah janji untuk member Taurat kepada Nabi Musa.Jika diperhatikan hadis pula, angka 40 banyak kali disebut antaranya; daripada Ibnu Abbas r.a Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “ Mana mana lelaki Muslim yang meninggal dunia, kemudian jenazahnya diuruskan oleh empat puluh orang lelaki yang tidak melakukan syirik kepada Allah s.w.t dengan sesuatu pun, melainkan Allah akan member syafaat.” HR Muslim dan Abu Daud.

Menurut Dr. Faizal, hadis itu menyebut 40, merujuk pada bilangan orang yang menguruskan jenazah dan jenazah tersebut akan diberi syafaat. Kemudian ada juga hadis yang menceritakan tentang dajal. Rasulullah member tahu tentang dajal melakukan kerosakan di bumi iaitu selama empat puluh hari, satu hari sama dengan setahun, satu hari seperti sebulan, satu hari seperti seminggu dan hari hari berikutnya seperti hari hari kamu.

Di dalam hadis itu angka 40 digunakan untuk memberikan peringatan tentang dajal. Kemudian bercerita tentang balasan, 40 itu digunakan untuk menunjukkan balasan yang didatangkan oleh Allah.

Misalnya di dalam hadis daripada Abu Juhaym bin al-Harith berkata; “ Sekiranya seorang yang lalu dihadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu dihadapan orang solat) nescaya dia akan berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini.

”Menurut Dr. Faizal lagi, angka 40 yang disebut di dalam hadis itu tidak dikatakan ia merujuk kepada 40 hari atau bulan atau tahun , tapi kalau orang tahu tentang semua itu maka mereka tidak akan melakukannya.Di dalam hadis daripada Abu Zar; Saya telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “ Apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Masjid al-Aqsa”. Saya bertanya lagi: “Berapakah jarak kedua diantaranya (tempoh dibina kedua duanya). Balas Rasulullah s.a.w: Empat puluh tahun, dimana sahaja kamu dapat bersolat pada kedua duanya, maka bersolatlah (di sana), di sana ada kelebihan (untk mereka yang bersolat di kedua dua masjid tersebut.)” HR sahih Bukhari.

Bukan itu saja, angka 40 juga disebut di dalam menceritakan tentang kejadina manusia yang diceritakan oleh Rasulullah di dalam hadisnya. Daripada Ibnu Mas’ud berkata, “Telah bersabda Rasulullah s.a.w dan dialah yang selalu benar dan dibenarkan.

“Sesungguhnya setiap orang di antara kamu dikumpulkan pembentukannya (kejadiannya) di dalam rahim ibunya dalam 40 hari berupa nutfah (air mani) kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian menjadi gumpalan seperti sekerat daging, selama itu juga, kemudian diutuslah kepadanya Malaikat, maka ia meniupkan roh padanya dan diperintahkan (ditetapkan) dengan 4 perkara; pertama, ditentukan rezekinya.

Kedua ajalnya (umurnya), ketiga amalannya (pekerjaanya) dan keempat takdirnya bahagia atau derita.

”APA ISTIMEWANYA 40?

Walaupun demikian banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi yang menyebutkan tentang angka 40, namun tidak ada satu pun nas yang menyebutkan tentang keistimewaannya.

Dr. Faisal menjelaskan, rahsia 40 tidak disebutkan di dalam al-Quran dan kelebihannya tidak ada, ia sama seperti nombor yang lain.

Apa yang pasti usia 40, melambangkan kematangan.

Manakala berdasarkan hadis yang menggambarkan hukuman iaitu 40 hari tidak diterima amalannya bagi orang yang berjumpa tukang tilik, ia boleh membawa maksud, 40 hari adalah tahap yang paling maksimum dalam hukuman.

Begitu juga 40 tahun adalah satu tempoh yang cukup lama dan 40 ganjaran kebaikan adalah symbol pada satu jumlah yang cukup besar dan maksimum sama ada di dalam soal ganjaran atau hukuman.“Memang benar banyak angka 40 disebutkan di dalam al-Quran namun tidak dinyatakan apa rahsianya. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahuinya, itu hanya rahsia Allah.

Jangan sampai diri kita jadi seprti masyarakat Barat dan orang Kristian yang percaya pada nombor yang boleh membawa untung serta rugi kerana ia tidak ada di dalam Islam. Kajian tentang nombor itu tidak dihalang di dalam Islam tapi bukan itu tujuannya nombor itu disebut di dalam al-Quran dan hadis,” tegasnya.

*Petikan AL ISLAM Julai 2011

17 Jan 2012

Kisah Meninggalkan Khianat Mendapat Berkat

Al-Qadhi Abu Bakar Muhammad bin Abdul Baqi bin Muhammad Al-Bazzar Al-Anshari berkata: "Dulu, aku pernah berada di Mekah semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala selalu menjaganya, suatu hari aku merasakan lapar yang sangat.

Aku tidak mendapatkan sesuatu yang dapat menghilangkan laparku. Tiba-tiba aku menemui sebuah kantung dari sutera yang diikat dengan kaus kaki yang diperbuat dari sutera juga.

Aku memungutnya dan membawanya pulang ke rumah. Ketika aku buka, aku dapatkan didalamnya sebuah kalung permata yang tidak pernah aku lihat sebelumnya.

Aku lalu keluar dari rumah, dan pada masa itu ada seorang bapa tua yang berteriak mencari kantungnya yang hilang sambil memegang kantung kain yang berisi wang lima ratus dinar.

Dia mengatakan, 'Ini adalah bagi orang yang mahu mengembalikan kantung sutera yang berisi permata'.

Aku berkata pada diriku, 'Aku sedang memerlukann, aku ini sedang lapar. Aku boleh mengambil wang dinar emas itu untuk aku manfaatkan dan mengembalikan kantung sutera ini padanya'.

Maka aku berkata pada bapa tua itu, 'Hai, kemarilah'. Lalu aku membawanya ke rumahku. Setibanya di rumah, dia menceritakan padaku ciri kantung sutera itu, ciri-ciri kaus kaki pengikatnya, ciri-ciri permata dan jumlahnya berikut benang yang mengikatnya.

Maka aku mengeluarkan dan memberikan kantong itu kepadanya dan dia pun memberikan untukku lima ratus dinar, tetapi aku tidak mahu mengambilnya.

Aku katakan padanya, 'Memang seharusnya aku mengembalikannya kepadamu tanpa mengambil upah untuk itu'.

Ternyata dia berkeras, 'Kau patut menerimanya', sambil memaksaku terus-menerus. Aku tetap pada pendirianku, tak mahu menerima.

Akhirnya bapa tua itu pun pergi meninggalkanku. Adapun aku, beberapa waktu setelah kejadian itu aku keluar dari kota Makkah dan berlayar dengan perahu.

Di tengah laut, perahu tumpangan itu pecah, orang-orang semua tenggelam dengan harta benda mereka. Tetapi aku selamat, dengan menumpang potongan papan dari pecahan perahu itu. Untuk beberapa waktu aku tetap berada di laut, tak tahu ke mana hendak pergi!

Akhirnya aku tiba di sebuah pulau yang berpenduduk. Aku duduk di salah sebuah masjid mereka sambil membaca ayat-ayat Al-Qur'an.

Ketika mereka tahu bagaimana aku membacanya, tidak seorang pun dari penduduk pulau tersebut kecuali dia datang kepadaku dan mengatakan, 'Ajarkanlah Al-Qur'an kepadaku'. Aku penuhi permintaan mereka. Dari mereka aku mendapat harta yang banyak.

Di dalam masjid, aku menemui beberapa lembar dari mushaf, aku mengambil dan mulai membacanya. Lalu mereka bertanya, 'Kau boleh menulis?', aku jawab, 'Ya'.

Mereka berkata, 'Kalau begitu, ajarilah kami menulis'. Mereka pun datang dengan anak-anak juga dan para remaja mereka. Aku ajari mereka tulis-menulis.

Dari itu juga aku mendapat banyak wang. Setelah itu mereka berkata, 'Kami mempunyai seorang puteri yatim, dia mempunyai harta yang cukup. Mahukah kau menikahinya?' Aku menolak.

Tetapi mereka terus mendesak, 'Tidak boleh, kau mesti terima'. Akhirnya aku menuruti keinginan mereka juga. Ketika mereka membawa anak perempuan itu kehadapanku, aku pandangi dia.

Tiba-tiba aku melihat kalung permata yang dulu pernah aku temui di Mekah melingkar di lehernya. Tak ada yang aku lakukan pada masa itu kecuali hanya terus memperhatikan kalung permata itu.

Mereka berkata, 'Sungguh, kau telah menghancurkan hati perempuan yatim ini. Kau hanya memperhatikan kalung itu dan tidak memperhatikan orangnya'.

Maka saya ceritakan kepada mereka kisah saya dengan kalung tersebut. Setelah mereka tahu, mereka meneriakkan tahlil dan takbir hingga terdengar oleh penduduk setempat. 'Ada apa dengan kalian?', kataku bertanya.

Mereka menjawab, 'Tahukah engkau, bahawa orang tua yang mengambil kalung itu darimu pada masa itu adalah ayah anak perempuan ini'.

Dia pernah mengatakan, 'Aku tidak pernah mendapatkan seorang muslim di dunia ini (sebaik) orang yang telah mengembalikan kalung ini kepadaku'.

Dia juga berdoa, 'Ya Allah, pertemukanlah aku dengan orang itu hingga aku dapat menikahkannya dengan puteriku', dan sekarang sudah menjadi kenyataan'.

Aku mulai mengharungi kehidupan bersamanya dan kami dikurnikan dua orang anak. Kemudian isteriku meninggal dan kalung permata menjadi harta pusaka untukku dan untuk kedua anakku.

Tetapi kedua anakku itu meninggal juga, hingga kalung permata itu jatuh ke tanganku. Lalu aku menjualnya seharga seratus ribu dinar. Dan harta yang kalian lihat ada padaku sekarang ini adalah baki dari wang 100 ribu dinar itu."

sumber : selatanonline

15 Jan 2012

Merenung Peribadi Khalid Al-Walid Yang Belajar Dari Kesalahan


YALAMLAM merupakan salah sebuah kawasan berbukit di sebelah utara Makkah, kira-kira 2 marhalah (92 km) sebelum sampai ke Tanah Haram. Ia merupakan tempat bagi masyarakat Islam di sekitar Yaman ber-miqat. Sekitar perjalanan antara Makkah ke Yalamlam, ada satu kawasan yang namanya Ghuraisa, iaitu sekitar jarak 15 km sebelum sampai ke Yalamlam. Di sinilah berlaku peristiwa sariyyah (peperangan yang tidak disertai Nabi) yang diingati sebagai hari Ghuraisa, peristiwa yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijriah, peristiwa yang mengimbas kembali kesalahan serius yang dilakukan oleh Khalid bersama 350 tentera berkuda yang terdiri di kalangan Muhajirin dan Ansar serta Bani Sulaim.

Ketika itu Khalid baharu selesai membinasakan berhala Uzza setelah diperintah Rasulullah S.A.W, dan kini beliau mendapat arahan daripada Rasulullah lagi untuk bertemu Kabilah Bani Juzaimah yang tinggal di Yalamlam agar mengajak mereka kepada dakwah Islam. Arahan tersebut diterima oleh Khalid pada 25 Ramadhan, dan setelah tiba bulan Syawal Khalid bersama para tenteranya berangkat menuju Yalamlam. Apabila sampai ke Ghuraisa, mereka telah terserempak dengan kabilah Bani Juzaimah yang lengkap bersenjata.

Kabilah Bani Juzaimah terkenal dengan sikap ganas dan 'gedebe' - samseng. Mereka pernah melakukan jenayah pembunuhan ke atas bapa saudara Khalid bin Al Walid bernama Fakih, dan juga membunuh bapa Abdul Rahman bin Auf. Ketika mereka melihat Khalid bersama 350 orang tentera ketika itu, timbul keraguan dalam hati mereka bahawa ada kemungkinan Khalid akan membalas dendam atas perbuatan mereka. Padahal Khalid bertemu mereka atas arahan Rasulullah S.A.W, iaitu untuk mengajak mereka masuk Islam. Lalu apabila Khalid Al Walid bertanya kepada Kabilah Bani Juzaimah tentang siapakah mereka, mereka menjawab dengan tidak menggunakan bahasa Arab fasih yang lazim dengan sebutan, "Aslamna" (yakni kami telah masuk Islam).

Sebaliknya menyebut, "Shoba’na" (istilah masuk Islam yang tidak digunakan oleh masyarakat Quraish). [ Rujuk Ibnu Hajar Al Asqolani, Fathul Bari 8/57 ]

Khalid bin Al Walid tidak memahami jawapan Bani Juzaimah itu, kemudian Khalid bertanya lagi, "Mengapa kamu membawa senjata? Adakah kamu hendak berperang?"

Kabilah Bani Juzaimah menjawab, "Kami berada di dalam krisis permusuhan dengan orang-orang Arab Badwi di sekitar perkampungan ini. Kami tersalah anggap, pada awalnya kami ingatkan kamu adalah musuh".

Khalid kemudiannya memerintahkan kabilah Bani Juzaimah meletakkan senjata mereka dan terus menawan mereka. Selepas itu tawanan tersebut dibahagikan kepada setiap anggota tenteranya di kalangan Ansar, Muhajirin dan Bani Sulaim. Ketika menjelang waktu Subuh, Khalid memerintahkan supaya tawanan tersebut dibunuh. Tentera dari Bani Sulaim menuruti arahan Khalid iaitu membunuh tawanan mereka, manakala tentera Ansar dan Muhajirin membebaskan tawanan tersebut tanpa mentaati arahan Khalid bin Al Walid, kerana tahu tawanan tersebut telah memeluk Islam, tetapi hal tersebut tidak difahami oleh Khalid yang ketika itu mengetuai sariyyah tersebut.

Hal ini disampaikan kepada Rasulullah S.A.W, lalu dengan perasaan duka Baginda bertanya, "Adakah di kalangan kamu ada orang yang membantah tindakan Khalid itu?!!".

Mereka menjawab, "Ada wahai RasulAllah, Abdullah bin Umar bin Salim telah membantah tindakan Khalid".

Mendengar jawapan tersebut, Baginda S.A.W berdoa kepada Allah, "Ya Allah, aku berlepas diri (mohon perlindunganMu) dari apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin Walid". [ Rujuk Sahih Bukhari, Kitab Maghazi bab Ba’athsa An Nabi Khalid Bin Al Walid, No:4339 ].

Apa yang jelas, Rasulullah S.A.W tidak setuju tragedi pembunuhan itu berlaku. Hal itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh Khalid bin Al Walid. Kemudian Rasulullah pun memerintahkan Ali bin Abi Thalib ke perkampungan Bani Juzaimah, memohon maaf, memberikan tebusan (diyat), menenangkan mereka, dan membetulkan insiden yang telah berlaku itu kerana Khalid telah melakukan perkara yang salah. Segala kerosakan dan ganti rugi dilunaskan oleh Ali bin Abi Talib, sama ada harta itu berbentuk unta dan perak, termasuklah bekas untuk minuman anjing sekalipun, bahkan diberikan lebih daripada itu setelah dimaklumkan segala harta yang musnah.

Begitupun apa yang dilakukan oleh Khalid bin Al Walid tidak berhak dihukum qisas kerana tindakan yang dilakukannya mengandungi syubhah dan takwil, sama seperti yang berlaku terhadap Usamah bin Zaid semasa beliau membunuh seorang lelaki yang telah mengucapkan syahadah kerana menyangka lelaki itu hanya berpura-pura untuk mengelak dibunuh. Rasulullah S.A.W memarahi tindakan Usamah R.A, namun Baginda tidak pula menghukum Usamah. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa setiap kesalahan yang dilakukan itu tidak sama levelnya, sebagai contoh orang yang murtad. Orang murtad kerana kejahilan diri dan nafsunya, berbeza dengan orang yang murtad kerana mahu memerangi dan menjatuhkan Islam. Begitulah juga orang yang membunuh kerana tersilap perkiraan, berbeza dengan orang yang membunuh kerana rasa sombong dan angkuh.

Abdul Rahman bin Auf Menegur Perbuatan Khalid

Peristiwa ini menyebabkan berlakunya pertengkaran di antara Khalid dan Abdul Rahman bin Auf. Kata Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid, "Kamu orang Islam tetapi telah melakukan kerja jahiliyyah".

"Tidak! Aku lakukan kerana membalas perbuatan mereka terhadap pembunuh bapamu!", jawab Khalid.

"Pembohong!! Aku telah membalas terhadap pembunuh bapaku. Kamu sebenarnya Khalid, telah membunuh orang yang telah memeluk Islam kerana kesalahannya membunuh seorang sahaja di zaman jahiliyyah-nya", kata Abdul Rahman bin Auf.

"Siapa yang mengatakan bahawa mereka telah Islam??", Khalid terpinga-pinga dengan jawapan Abdul Rahman.

Jawab Abdul Rahman lagi, "Semua anggota tentera memberitahu bahawa mereka (Bani Juzaimah) menjawab persoalanmu (ketika berada di Ghuraisa) bahawa mereka telah Islam dan mendirikan masjid! Sebenarnya kamu-lah Khalid yang menuntut bela terhadap pembunuhan bapa saudaramu Fakih!!"

"Tidak! Aku lakukan demi arahan Rasulullah", Khalid menafikan.

Khalid masih sahaja menganggap apa yang dilakukannya itu benar. Mungkin kerana beliau digelar "pedang Allah" (SaifuLlah), menyebabkan Khalid begitu percaya bahawa kebenaran sentiasa berada di sisinya. Namun, Abdul Rahman bin Auf juga memiliki reputasinya yang tersendiri, beliau adalah salah seorang "as sabiqunal awwalun" (orang yang terawal memeluk Islam) dan juga termasuk sepuluh orang Sahabat yang dijamin masuk syurga. Tetapi, pertikaian demi pertikaian tetap juga berlaku sehingga tanpa sedar Khalid menolak kata-kata Abdul Rahman bin Auf secara agresif.

Hal ini akhirnya Rasulullah S.A.W campurtangan dan menyedarkan Khalid, "Berhentilah wahai Khalid. Jangan memaki Sahabatku. Demi Allah, jika kamu meng-infaqkan derma sebesar bukit Uhud, nescaya kamu tetap tidak dapat mampu menyamai walaupun satu cupak infaq mereka, tidak juga separuhnya" [ Rujuk Sirah Ibnu Hisham 2/431 ].

Khalid terdiam dan tersedar kesilapannya. Sehebat manapun gelaran "SaifuLlah", ia tetap tidak memberikan ada apa-apa kelebihan jika dibandingkan dengan pengorbanan generasi Sahabat yang pertama memeluk Islam. Hal ini menyebabkan Khalid mengenali dirinya, menginsafi sikapnya, memuhasabah salah dan silapnya. Dari peristiwa ini Khalid bin Al Walid mendapat pelajaran yang sangat berharga sebagai panduan hari muka.

Benar. Khalid bin Al Walid memang belajar dari peristiwa itu, Khalid betul-betul menginsafi kesalahannya. Maka lembaran-lembaran sejarah berikutnya di dalam sejarah peperangan yang dilalui oleh Khalid, beliau lebih matang dan dewasa. Sepanjang peperangan yang dilalui oleh Khalid sehinggalah ke zaman kekhalifahan Umar Al Khattab, prestasi Khalid Al Walid dipenuhi dengan kegemilangan dan kebanggaan tanpa berlaku kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dilakukannya terhadap kabilah Bani Juzaimah. Bukan sahaja kematangan beliau di medan perang, malah lebih dari itu lagi, Khalid bin Al Walid memiliki kematangan ruhiyah yang luar biasa. Hal itulah yang diabadikan sejarah saat Khalid dipecat Umar sebagai komander perang di saat perang Tabuk. Khalid terus berperang sekalipun dipecat dari jawatan tertinggi, malah lebih gigih lagi di belakang pimpinan Abu Ubaidah bin Jarrah.

"Aku berperang mengharap keredhaan Allah, bukan menagih keredhaan manusia".

Setiap manusia pernah melakukan kesalahan. Besar atau kecil. Sengaja ataupun tidak sengaja. Yang menjadi masalah adalah, apakah kesalahan itu menginsafkan kita atau tidak. Adakah kita bertaubat atau mengulanginya dengan penuh bongkak. Belajarlah dari kesalahan itu sehingga menjadikan penilaian kita lebih matang dan dewasa, justeru hal itu tidak menyebabkan kita mengulangi kesalahan yang sama dan bersikap kekanak-kanakan selama-lamanya. Para salafus soleh selalu memuhasabah diri sebelum tidur. Maka, kesalahannya dapat diperbetulkan semula kurang dari 24 jam. Mereka cepat bertaubat, segera mengambil ibrah, membersihkan segala kekotoran sehingga menjadikan jiwa semakin matang, luas pemikirannya seiring zaman yang mereka lalui.

Bagaimana pula kita? Adakah kita belajar dari kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan? - TARBAWI

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DPPM

sumber : selatanonline