7 Oct 2011

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud (Siri Keempat)

Benarkah hukuman Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana masih ramai ummat Islam yang tidak memahami hukuman tersebut?

15. Saya juga sarankan kepada semua pembaca bagi mendalami soal hukum Hudud ini dengan mengambil langkah pro aktif mempelajarinya secara langsung justeru ia adalah sebahagian dari ilmu Islam wajib dipelajari oleh ummat Islam. Zaman moden ini terlalu banyak kaedah dan kemudahan untuk mempelajari ilmu Islam ini. Terpulang kepada kesungguhan kita.

16. Masjid dan surau juga boleh mengambil langkah yang sama untuk membuka kelas pengajian berkait Perlaksanaan Hukuman Hudud secara bersiri menggantikan kuliah maghrib yang kadangkala hanya bersifat tazkirah biasa atau pengajian yang telah berulang kali dipelajari seperti bab bersuci, haid, nifas, solat dan haji tanpa saya menafikan pengajian itu juga penting untuk diulangkaji.

17. Saya tegas menasihati mereka yang tidak mengetahui dan mendalami pengetahuannya mengenai hukum Hudud ini agar tidak membuat ulasan dan kenyataan berasas fikiran sendiri apalagi menafsir hukum Hudud secara bukan - bukan dan jauh tersasar dari konteks hukum Hudud yang sebenar. Kelak ia akan memudaratkan diri kita sendiri apabila berdepan dengan kemurkaan Allah swt ekoran pandangan dan ulasan yang bertentangan dengan kehendakNya.

18. Jahil mengenai hukum Hudud tidak boleh menjadi hujjah bahawa hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan sebagaimana jahil mengenai solat tidak boleh menjadi hujjah solat tidak boleh ditunaikan. Ini kerana hukum Hudud samalah seperti kewajipan Islam yang lain justeru ianya telah dinaskan di dalam al Quran dan Sunnah sementara hukum Hudud juga telah digazet dan dilaksanakan oleh Rasulullah saw sejak hari pertama Baginda saw memerintah bumi Madinah al Munawwarah.

19. Malah perlaksanaan undang - undang negara hari ini yang merupakan fotostat dari undang - undang penjajah telah dilaksanakan dalam negara kita sejak mula negara merdeka tahun 1957 yang lalu, tanpa perlu pun menunggu rakyat memahami undang - undang tersebut. Bahkan mengikut kaedah perundangan, sesuatu undang - undang itu tidak terbatal hanya kerana pesalahnya tidak mengetahui undang - undang tersebut atau dalam erti kata lain, pesalah itu tidak mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu kesalahan di sisi undang - undang sekalipun, ia tetap tertakluk kepada undang - undang tersebut.

20. Apatah lagi undang - undang Islam yang telah siap drafnya melalui al Quran dan Sunnah secara muktamad untuk diguna pakai sepanjang zaman, malah telah digazet dan dilaksana sejak mula Islam memerintah di bumi Madinah al Munawwarah lebih 1400 tahun yang lalu. Pula terlalu banyak kitab dan buku yang dikarang oleh para sarjana Islam bagi membantu ummat Islam memahami undang - undang Islam ini di sepanjang zaman. Kalau kita tidak mengetahuinya, maka ia bukan salah undang - undang tersebut tetapi kecuaian kita kerana gagal mempelajari dan memahami undang - undang tersebut.

21. Alasan kononnya ramai ummat Islam tidak memahami hukum Hudud maka ianya tidak sesuai dilaksanakan pada hari ini adalah helah bermadah yang cukup strategik untuk tidak melaksanakan perintah Allah swt. Ajaibnya, ramai ummat Islam tidak memahami undang - undang British yang diamalkan dalam negara kita hari ini, tetapi sesuai pula dilaksanakan ? seperkara lagi , masih adakah ummat Islam hari ini yang tidak tahu zina itu salah, mencuri itu salah, membunuh orang itu salah, minum arak itu salah ? atau ia adalah bertolak dari kedegilan untuk patuh pada perintah Allah swt ?

akan bersambung ........

No comments: