2 Oct 2011

Cara Berzikir Ketika Sibuk Bekerja

" Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya, demikian dicatatkan blog drjuanda.com. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.

Malah, menurut drjuanda.com, disebabkan peri ringannya untuk dikerjakan, zikir boleh sahaja dilakukan walaupun sambil sibuk bekerja.

Blog milik Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya ini mengambil contoh bagaimana Nabi Idris as mengamalkan zikir ketika mula bekerja dan sambil bekerja sebagai tukang jahit.

Nabi Idris as, setiap kali mahu menusukkan jarum, pasti akan mengucapkan kalimah yang empat, iaitu “Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar”.

Munurut drjuanda.com, pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan dapat menyuntik semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

“Baginda (Nabi Idris as) adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah swt berfirman yang maksudnya: “Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57).

“Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisiKu seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10),” catat drjuanda.com.

Menurut drjuanda.com, Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan bahawa amalan paling utama selepas amalan fardhu ialah zikrullah.

Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Mahukah kamu aku tunjukkan amalan paling utama dan paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal lehermu? Para sahabat menjawab, “Tentu wahai Rasulullah”. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”

Justeru, bagaimanakah mengamalkan zikir ketika sibuk bekerja? Mudah sahaja. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa mengira situasi, hatta sedang sibuk bekerja.

Malah seperti dicatatkan drjuanda.com, zikir tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ternyata, ia amat mudah dan ringan!

Blog ini memetik Al-Imam Ibnu al-Qayyim yang menyatakan bahawa Rasulullah saw ada memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring. Malah semua gerak geri baginda adalah berzikir kepada Allah.

Kesibukan tugas dengan pelbagai komitmen, termasuk mesyuarat dan keperluan menyiapkan kerja mengikut ‘deadline’ menjadi penghalang?

Jangan beri alasan! Rasulullah saw jauh lebih sibuk daripada anda.

Catat drjuanda.com, baginda seorang manusia paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya.

“Baginda ialah seorang ketua negara yang amanah, mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumahtangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang dan saudara lelaki yang penyantun.

“Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat,” tegas blog berkenaan. – inimajalah.com

No comments: